utama

[UPDATE] 'Suami isteri itu tidak pernah berenggang'

Oleh Siraj Mohd Zaini dan Amirul Aiman Hamsuddin

PERJALANAN suami isteri bagi menghantar ibu mereka pulang ke kampung berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Klang-Teluk Intan berhadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Terap, Kuala Selangor hari ini.

Kejadian itu menyebabkan pengawal keselamatan, Ahmad Awang, 56, isterinya, Hayati Mohd Zain, 57, maut selepas Perodua Viva dipandu Ahmad hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit.

Turut meninggal dunia, Khmisah Saleh, 77, dan Noriyah, 61, yang juga ibu serta kakak Hayati.

Difahamkan, Ahmad dan Hayati yang tinggal di Meru, Klang dalam perjalanan menghantar Khmisah yang tinggal di Jalan Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang.

Anak kedua suami isteri itu, Mohd Hafiz Ahmad, 27, berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan itu daripada abang sulungnya 2 petang.

“Mak dan ayah bersama mak cik (Nooriyah) dalam perjalanan hantar nenek pulang ke rumahnya.

“Nenek memang tinggal dengan kami sekeluarga sejak Aidilfitri lalu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tanjung Karang.

Mohd Hafiz berkata, sudah menjadi amalan neneknya untuk tinggal bersama mereka setiap kali Aidilfitri.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa orang tuanya beberapa jam sebelum kejadian kerana perlu ke tempat kerja.

“Mereka tidak menunjukkan apa-apa perubahan, saya tak sempat bersalam sebab nak bergegas ke tempat kerja.

“Sepanjang hayat, saya akui mereka dikenali oleh orang kampung, mesra dengan jiran dan rakan, tidak pernah marah dan cukup peramah,” katanya.

Sementara itu, jiran keluarga terbabit, Mohd Romadzan Mohd Zain, 30, berkata, pasangan suami isteri terbabit tidak pernah berenggang antara satu sama lain.

“Kalau mereka keluar ke mana-mana, arwah suami isteri itu tidak pernah berenggang.

“Mereka adalah contoh keluarga yang baik, tak sangka ajal mereka pun sekali,” katanya.

Jenazah Ahmad, Norriyah dan Hayati akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Setengah di Meru, manakala Khmisah dijangkakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gulang-Gulang selepas selesai proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, semua mangsa itu meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kereta terbabit dari arah Klang menghala ke Teluk Intan.

“Kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan arah bertentangan dan masuk ke dalam parit.

“Akibat kemalangan itu, semua mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, jenazah semua mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk proses bedah siasat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Empat maut kereta masuk parit [METROTV]

Disiarkan pada: July 3, 2019 @ 8:23pm
d