utama

Buktikan berbisa! -Nana & Khai Bahar

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SETAKAT ini, pasangan duet serasi yang berjaya mencuri perhatian peminat industri muzik tempatan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir menerusi lagu Dirgahayu, Misha dan Hafiz Suip (Terimaku Seadanya), Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini (Haram) serta Syamel dan Ernie Zakri (Aku Cinta/Takkan Terlerai).

Terkini, dua penyanyi popular iaitu Siti Nordiana atau Nana dan Khai Bahar muncul dengan lagu duet sulung mereka, Satukan Rasa.

Tidak sampai 24 jam dilancarkan, lagu yang dihasilkan sendiri Nana dan Khai menggunakan nama samaran Kanda Dinda itu sudah menguasai carta di YouTube serta berada di kedudukan teratas.

Perkembangan itu pastinya cukup memberangsangkan sekali gus membuktikan dua penyanyi itu ‘berbisa’ dan bakal memberi saingan kepada pasangan duet sedia ada.

Ditemui pada majlis pelancaran single Satukan Rasa, Khai dan Nana menegaskan gandingan mereka bukan mahu menandingi sesiapa.

Kata Nana, kalau ada pun berlaku persaingan, ia sesuatu yang sihat untuk peminat dan industri hiburan tanah air.

“Sewaktu memutuskan mahu menghasilkan lagu ini, kami tidak terfikir langsung untuk bersaing dengan sesiapa sebaliknya ia lebih kepada memenuhi kehendak peminat yang mahu saya dan Khai berduet,” katanya.

Kata Nana lagi, dia bertuah kerana dapat mengenali Khai lebih awal dan sebagai kawan semestinya mudah mencipta keserasian.

“Peminat mula suka saya dan Khai berduet apabila kami sama-sama menyanyi di Smule. Pada waktu sama, ramai yang memberikan komen mahu kami tampil dengan lagu duet.

“Perancangan untuk menghasilkan lagu ini makan masa hampir dua tahun dan sekarang baru dapat direalisasikan.

“Jika mahu berduet, penting dapatkan pasangan yang komited dan serasi. Dua perkara ini bukan mudah untuk diperoleh.

“Saya bersyukur kerana sepanjang proses pembikinan Satukan Rasa, Khai memberikan kerjasama yang baik dan kami saling berkongsi idea daripada menghasilkan melodi sehinggalah sewaktu proses rakaman,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan Satukan Rasa, kata Nana, mereka menggunakan khidmat komposer AG Coco untuk menyusun semula melodi.

“Melodi asal daripada Khai dan sepanjang pembikinan saya turut membantu memantapkan lagi melodi dengan bantuan AG.

“Ikutkan lagu ini boleh dihasilkan lebih awal tetapi tertangguh hampir dua tahun kerana jadual kerja kami sangat padat. Lagu ini dirakamkan Ramadan lalu kerana kami tidak terbabit dengan sebarang aktiviti seni,” katanya.

Ditanya bagaimana mereka menghayati lagu terbabit, Nana berkata, dia tiada masalah kerana sudah ada banyak pengalaman dalam hidup terutama membabitkan cinta.

“Sementara Khai pula menyifatkan ia agak mencabar kerana tidak pernah ada pengalaman bercinta mahupun meluahkan perasaan kepada seseorang. Bagaimanapun, berkat kerjasama dan perbincangan Khai dapat melakukannya,” katanya.

BERGANDINGAN DALAM DRAMA

Pada majlis sidang akhbar itu juga, Khai dan Nana berkongsi perkhabaran gembira apabila Satukan Rasa bakal dijadikan runut bunyi drama bersiri yang akan mereka bintangi.

Pastinya projek terbaharu pasangan itu menarik perhatian umum terutama peminat setia Nana dan Khai apatah lagi drama berkenaan dihasilkan untuk slot popular sebuah stesen TV berbayar Oktober nanti.

Menurut Khai, dia tidak ada pengalaman berlakon dan berasa tidak yakin saat ditawarkan projek berkenaan.

“Salah satu sebab saya terima tawaran ini kerana akan digandingkan dengan Nana.

“Kalau ikutkan memang berat hati untuk terima kerana takut. Saya tidak tahu mampu atau tidak melakukannya. Bagaimanapun, kata-kata semangat dan nasihat yang diberikan Nana sedikit sebanyak menyuntik keyakinan dalam diri saya.

“Nana menjadikan dirinya contoh. Sewaktu berlakon dengan Alif Satar dalam drama Dia Semanis Honey, dia tidak ada banyak pengalaman. Sedangkan Alif pelakon yang bagus.

“Malah, dia tidak kenal Alif dengan rapat dan berasa sangat segan. Ketika itu dia banyak belajar daripada pelakon senior dan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Sambung Khai, dia bertuah kerana digandingkan dengan Nana yang sudah lama dikenali dan menganggap penyanyi itu seperti kakak.

“Insya-Allah, drama ini akan memulakan penggambaran penghujung Ogos nanti. Setakat ini tak banyak yang dapat dikongsi kerana ia masih dalam perancangan,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:00am
d