utama

Pendedahan tak sahih

Oleh Mary Victoria Dass

TIADA bukti penanaman sisa kimia bawah tanah sebagai punca pencemaran kimia di kawasan Pasir Gudang.

Malah, kerajaan negeri tidak dapat memastikan kesahihan pendedahan seorang profesor kejuruteraan kimia mendakwa penanaman sisa kimia di dalam tanah menjadi punca bencana itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Cheng Choon berkata, siasatan berkaitan punca pencemaran termasuk usaha mengesannya masih belum tamat.

Beliau berkata, sebuah jawatan kuasa teknikal dan saintifik yang menjalankan pemeriksaan ketika ini masih belum mempunyai sebarang kesimpulan berkaitan pencemaran itu.

Menurutnya, malah ujian darah serta air kencing pesakit yang terjejas akibat pencemaran udara tidak dapat membuktikan ia mempunyai kaitan dengan sebarang punca pencemaran.

Katanya, oleh itu pihaknya tidak dapat mengulas pendedahan seorang profesor kejuruteraan kimia menyatakan kemungkinan pencemaran di Pasir Gudang berpunca daripada penanaman sisa kimia di tanah oleh kilang-kilang kawasan berkenaan.

“Kita perlu ada perbincangan seterusnya dan apa yang didedahkan profesor berkenaan belum ada latar belakang justifikasi.

“Kita ada jawatan kuasa yang giat mencari punca dan siasatan dari masa ke semasa. Kita berharap dapat mengenalpasti punca pencemaran berkenaan,” katanya bagi mengulas pendedahan seorang profesor kejuruteraan kimia di sebuah media menyatakan kemungkinan pencemaran di Pasir Gudang berpunca daripada penanaman sisa kimia di dalam tanah.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 6:45am
d