utama

Ejek nama ibu punya pasal... [METROTV]

Oleh Amran Yahya

RASA tidak puas hati kerana mengejek nama ibu dipercayai menjadi punca pergaduhan dua pelajar berusia 14 tahun di sekolah menengah di Kuala Pilah, semalam.

Insiden terbabit dapat dilihat dalam video berdurasi 35 saat yang memaparkan mangsa diserang secara bertubi-tubi oleh suspek sambil disaksikan serta dirakam pelajar lain, sehingga tular di Facebook dan Whatsapp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, terdahulu, kedua-dua pelajar berkenaan dikatakan terbabit dalam insiden mengejek nama ibu sebelum berjumpa di satu kawasan sekolah bagi menyelesaikan perselisihan faham itu.

Katanya, perjumpaan itu bagaimanapun disusuli dengan pertengkaran mulut sehingga berlaku pergaduhan.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, mangsa berjumpa dengan suspek di tempat parkir motosikal berhampiran kediaman warden asrama sekolah berkenaan pada 2.30 petang 2 Julai lalu.

“Mangsa berjumpa suspek dan meminta maaf secara lisan selain memaklumkan tidak mahu bergaduh.

“Bagaimanapun, ketika mahu beredar, tiba-tiba suspek menyerang mangsa dengan memukulnya sehingga terjatuh dan terus menumbuk dan menendang mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera di bahagian kepala dan keseluruhan badan selain mengalami sakit di bahagian bahu, leher, pinggang dan ibu jari kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Haslah, mangsa yang ditemani ahli keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti 10.52 malam tadi selepas video insiden itu tular.

Katanya, kedua-dua pelajar berkenaan adalah rakan sekelas dan isu ejek-mengejek nama ibu dikatakan menjadi punca pergaduhan.

“Siasatan masih diteruskan dan pihak polis akan memanggil kedua-dua pelajar terbabit serta beberapa saksi untuk membantu siasatan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 1:51pm
d