utama

Bedah siasat Adib tak menyeluruh - Dr Shahrom

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Koroner Shah Alam, hari ini diberitahu bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) terhadap mayat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah tidak menyeluruh.

Perkara itu dimaklumkan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang memasuki hari ke-39 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Mengulas lanjut, saksi inkues ke-29 itu berkata, justeru tiada sebarang kesan lebam ditemukan di bahagian belakang badan anggota bomba itu.

“Bedah siasat bukan sekadar potong-potong sahaja, namun ia adalah pemeriksaan secara menyeluruh bagi mengetahui punca kematian seseorang.

“Mereka (HKL) mengatakan melakukan bedah siasat, tetapi sebenarnya tidak,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin.

Ini adalah kali kedua Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz itu dipanggil memberikan keterangannya dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Menjawab soalan dikemukakan Faten, saksi sama berkata, pihak forensik HKL tidak melakukan pemeriksaan, antaranya di bawah bahagian lapisan kulit dan jika dilakukan, pasti akan menemukan kesan lebam.

“Ini apa mereka katakan tidak ada, bagaimana hendak ada kalau tidak diperiksa,” katanya.

Dr Shahrom berkata, siasatan berhubung kejadian membabitkan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya seharusnya dilakukan dari awal oleh pegawai penyiasat dan forensik.

“Ia bermula daripada Muhammad Adib diserang yang sepatutnya siasatan di lokasi dilakukan.

“Tiada video penuh berhubung kejadian, justeru pencarian perlu bermula daripada berlakunya kejadian bukannya dari bedah siasat,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 4:11pm
    d