utama

'Banyak hal pulak korang ni...' [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“SAYA terpaksa rakam sebab mereka sudah lama melakukan provokasi ke atas saya.

“Makin menjadi-jadi, mungkin sebab tiada lelaki di rumah ini, lantas mereka berani dengan saya,” luah ibu tunggal dua anak dikenali dengan nama Zainab, 35, yang terpaksa berdepan dengan kerenah jiran warga asing dipercayai pelarian Rohingya yang menyewa berhampiran rumahnya di Gombak.

Satu video memaparkan pergaduhan mulut antara dua jiran mengenai sempadan rumah dan tindakan jiran berbangsa asing itu didakwa membuang kain lapik kaki di depan rumahnya mendapat pelbagai reaksi warganet.

Zainab ketika dihubungi Harian Metro berkata, sebelum kejadian yang dirakam pada malam kelmarin, dia pernah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak Prima.

Katanya, laporan dibuat kerana mereka sering membuang barang dan sampah di depan rumahnya, sebelum ini.

“Pihak polis sudah datang dan memberitahu ia isu remeh, tetapi sempat menasihati mereka agar tidak lagi mengulangi perkara itu.

“Malangnya, selepas beberapa bulan, mereka mengulangi perbuatan itu lantas membuatkan saya hilang sabar,” katanya.

Zainab mendakwa pada asal isu bermula daripada perkara kecil saja.

“Saya letak kain lap kaki di depan pintu rumah saya dan kebetulan laluan depan pintu masuk ke rumah saya adalah jalan masuk ke rumah mereka.

“Mereka selalu sepak kain di depan rumah dan pernah buang kain itu ke bawah. Padahal kain saya bukan di depan pintu rumah atau berada dalam kawasan rumah mereka,” katanya menetap di kediaman tiga tingkat.

Zainab berkata, masalah yang terpaksa dihadapinya bukan berkaitan kain, tetapi sikap mereka yang pengotor dan tidak menghormati jiran tetangga lain.

Katanya, jiran warga asing itu akan menjerit kepadanya setiap kali dia cuba menegur perbuatan mereka yang suka melepak dan berbuat bising di tangga depan rumahnya.

“Bukan itu saja, tangga di depan rumah saya sering menjadi lokasi warga asing berkumpul sambil menghisap rokok.

“Lelaki warga asing yang bergaduh dengan saya itu suka hisap rokok depan rumah saya.

“Kotak rokok setakat campak saja di bawah, penuh kotak rokok! Sampah mereka pun hanya dicampak ke bawah.

“Apabila jiran tempatan lain ada masa lapang, kamilah yang akan menyapu sampah sarap ditinggalkan mereka,” katanya.

Selain itu, Zainab turut mendakwa rumahnya pernah dipecah masuk lebih empat kali namun tiada kehilangan barangan berharga.

Katanya, dia hanya pernah kehilangan periuk dan papan putih kecil diletak dalam rumah.

Sehubungan itu, Zainab berharap pihak berkuasa tempatan dapat melakukan pemantauan lebih kerap mengenai aktiviti warga asing menetap di negara ini.

Disiarkan pada: July 4, 2019 @ 10:30pm
d