utama

Semua tanggung sendiri

Oleh Syazwan Msar

PERCAYA atau tidak, pemain di Liga M3 sebenarnya berseorangan dan andai ditimpa masalah seperti tidak dibayar gaji atau perkara seumpamanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak boleh berbuat apa-apa.

Mungkin ia kedengaran agak melampau tetapi itulah hakikat sebenarnya apabila dua badan berkaitan bola sepak itu hanya mampu memberikan khidmat nasihat dan tidak lebih daripada itu.

Pendek kata, andai ditimpa musibah seperti majikan tidak membayar gaji, tanggunglah sendiri!

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub berkata, status pemain Liga M3 yang bertaraf amatur menyebabkan isu tunggakan gaji yang melanda mereka sukar untuk diselesaikan.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan pemain Liga M3 ialah mengadu masalah terbabit pada Liga Bolasepak Amatur (AFL) yang bertindak sebagai pengurus liga berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Pemain Liga M3 tidak tertakluk kepada jawatankuasa status FAM dan aduan mereka mengenai tunggakan gaji kemungkinan tiada jalan penyelesaian seperti pemain lain.

“Mereka boleh rujuk kepada penganjur liga berkenaan,” katanya ketika ditemui Pada Majlis Rumah Terbuka FAM, di Wisma FAM, baru-baru ini.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan pemain Batu 2 FC menghadapi masalah tunggakan gaji yang sepatutnya dibayar sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Perkara itu turut diluahkan bekas tonggak import Batu 2 FC, Ljuba Baranin yang mendedahkan menerima cek tendang selain dipaksa untuk menandatangani borang tertentu.

Sementara itu, jurucakap PFAM pula berkata, mereka hanya boleh memberi khidmat nasihat saja itupun jika pemain liga M3 terbabit mempunyai bukti kukuh seperti kontrak perjanjian dan dokumen berkaitan.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 6:00am
d