utama

Riza Aziz dijangka hadapi lima pertuduhan

Oleh BERNAMA

RIZA SHAHRIZ Abdul Aziz, 42, anak tiri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menghadapi lima pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion).

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures didakwa melakukan kesalahan itu berhubung wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1Malaysia Delevelopment Berhad (1MDB).

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas ibunya Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib, Riza adalah anggota keluarga ketiga bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah oleh SPRM.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes Riza akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata Riza ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Bagaimanapun, Riza dibebaskan dengan ikat jamin dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 9 pagi ini.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 9:10am
d