utama

'Jangan aibkan, tambah derita kami'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“TOLONG jangan aibkan dan menambah derita kami,” kata A Bakar Abd Rahman, 48, berkongsi kesedihannya mengenai tular mendakwa kematian isterinya, Marini Kasman akibat pencemaran Sungai Kim Kim dan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Peniaga berusia 48 tahun itu berkata, Marini, 38, dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 10 malam, 5 Jun lalu selepas mengalami sesak nafas.

“Kejadian berlaku dengan cepat apabila isteri mengalami sesak nafas dan dibawa menaiki ambulans.

“Dia kemudian dipindahkan ke zon kuning dan zon merah sebelum dipindahkan ke dewan bedah HSI,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, hari ini.

Katanya, isterinya yang mempunyai rekod perubatan berkaitan darah tinggi sejak dua tahun lalu, disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 4 pagi semalam.

“Isteri saya yang berniaga burasak memang ada sakit dan hidap darah tinggi sebelum meninggal dunia pagi semalam.

“Doktor ada memaklumkan paru-paru isteri sudah dimasuki air dan kekurangan oksigen,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengaitkan kematian isterinya berpunca daripada pencemaran Sungai Kim Kim atau pencemaran udara di Pasir Gudang.

“Saya tidak menuduh mana-mana pihak atau menimbulkan spekulasi dan saya tidak pasti isteri saya meninggal akibat pencemaran atau penyakit lain.

“Setahu saya dia mempunyai penyakit darah tinggi dan paru-paru dan doktor sahkan kematiannya akibat kegagalan jantung berfungsi. Itu saja yang saya tahu,” katanya.

Mengulas tular mendakwa kematian isterinya akibat pencemaran Sungai Kim Kim, A Bakar berkata, dia terkejut dengan keadaan itu hingga dipanggil polis bagi memberikan keterangan selama dua jam bermula 11 malam tadi.

Katanya, dia memang terkejut kerana tidak pernah dipanggil polis seumur hidupnya.

“Saya ditanya sama ada mengesyaki sesuatu ketika di hospital.

“Kalau dia (doktor), buat kerja jujur untuk selamatkan isteri dan beritahu isteri saya sudah tidak boleh diselamatkan, saya terima.

“Tapi kalau tidak jujur dan berlaku sebaliknya, saya tidak tahu,” katanya yang reda, namun sedih dengan tular membabitkan kematian arwah isterinya itu.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana isu membabitkan kematian isterinya ditularkan di media sosial oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya kesal kerana tidak ada pun mana-mana NGO bertemu dengan saya, tetapi gambar kenangan saya bersama arwah isteri dan mengaitkan kematiannya dengan pencemaran Sungai Kim Kim dikongsi di media sosial.

“Tindakan tular itu menyebabkan saya diajukan soalan bertubi-tubi.

“Kalau mereka berperikemanusiaan dan tidak mempunyai kepentingan diri atau tujuan tertentu, mereka sepatutnya faham keadaan saya yang baru kehilangan isteri,” katanya.

Ditanya mengenai tahap kesihatan isterinya, A Bakar berkata, wanita itu pernah mendapatkan rawatan selepas menghidap asma dalam kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Menurutnya, dua hari selepas pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu, arwah isteri menghidap asma dan mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta.

Malah, A Bakar membuat laporan di Balai Polis Taman Scientex pada 6.59 petang berhubung kenyataan ditularkan di platform FB dan portal berita mengaitkan kematian isterinya dengan pencemaran udara adalah tidak benar.

Sementara itu, tular di laman sosial FB yang mendakwa kejadian pencemaran Sungai Kim Kim meragut nyawa seorang wanita.

Ketika ditanya mengenai temuramahnya bersama agensi berita disiarkan di televisyen, A Bakar berkata, selepas solat jenazah dia diajukan bertubi-tubi soalan oleh wartawan menyebabkannya keliru ketika memberikan jawapan.

“Jika saya tersalah cakap, saya minta maaf. Sebenarnya saya masih sedih dan keliru, saya pula tidak diberitahu punca sebenar kematian isteri dan apabila disoal sebegitu rupa, saya mungkin ada silap cakap.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terutama Jabatan Kesihatan dan hospital hingga mengheret tindakan undang-undang termasuk polis serta mahkamah.

“Saya tidak mahu sampai nak gali balik kubur, babitkan forensik dan sebagainya. Saya tidak rela dan reda," kata bapa kepada seorang anak perempuan, Ayu Natasya, 7.

Menurutnya, dia membuat laporan polis berkaitan tindakan agensi berita itu dan tular fitnah yang disiarkan di media sosial kerana mengaitkan kematian isterinya dengan pencemaran Sungai Kim Kim dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 8:36pm
d