utama

Sesi persekolahan tangguh akibat banjir [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

SESI pembelajaran di dua sekolah di Melaka terpaksa ditangguhkan, hari ini, susulan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, dua sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di Alor Gajah.

Menurut beliau, penutupan kedua-dua sekolah ekoran digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan mangsa banjir selain jumlah pelajar yang terjejas adalah tinggi.

“Jumlah murid dan guru terjejas di SK Krubong seramai 1,236 murid dan 71 guru manakala di SK Belimbing Dalam pula ialah 484 murid dan 40 guru.

“Bagaimanapun, hanya murid sahaja dibenarkan tidak bersekolah manakala guru yang tidak terbabit dengan banjir diminta hadir seperti biasa,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS yang menempatkan 122 mangsa daripada 34 keluarga.

Bagaimanapun, sesi persekolahan bagi semua pelajar dan guru sekolah berkenaan berjalan seperti biasa.

Malam tadi, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dilaporkan berkata, jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS di dua daerah negeri ini terus meningkat kepada 1,149 orang sehingga jam 8 malam tadi.

Berita berkaitan

Tamatkan derita kami

Mangsa banjir meningkat 1,096 orang [METROTV]

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 9:22am
d