utama

Bukan cari publisiti

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA tidak berniat untuk mencari publisiti, hanya mahu mendapatkan pembelaan buat anjing yang ditembak itu kerana enggan perkara sama berulang pada masa akan datang ,” kata Nurul Ain Abdul Hamid, 27, ketika diminta mengulas mengenai hantarannya yang tular di laman sosial, sejak semalam.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook S I Home Shelter itu, Nurul Ain selaku pengendali akaun berkenaan meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan individu dipercayai menembak seekor anjing yang berkeliaran di sebuah penempatan di Kulai, Johor.

Hantaran itu mendapat lebih 2,200 tanda suka dan dikongsi hampir 500 pengikut setakat 9 malam ini dengan majoritinya berharap pelaku terbabit berdepan tindakan undang-undang serta menerima balasan yang setimpal atas perbuatannya.

Bercerita lanjut, Nurul Ain mengakui sedih dengan apa yang berlaku dan memuat naik hantaran itu kerana mahu mengajak orang ramai bersama-sama menghentikan kezaliman terhadap haiwan.

“Dua hari lalu, saya menerima maklumat daripada rakan yang berkongsi tangkap layar (screen shot) mengenai insiden itu.

“Mulanya, saya cuba berbaik sangka dan beranggapan tindakan itu dilakukan kerana anjing berkenaan menyerang serta mengganggu ketenteraman penduduk di situ.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya cuba hubungi pihak berkuasa tempatan (PBT), namun dimaklumkan bahawa tiada aduan dibuat berkaitan gangguan anjing liar di kawasan terbabit.

“Saya turut cuba menghubungi individu terbabit dengan menghubunginya di Facebook tetapi tidak berjaya kerana disekat olehnya, ” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Ain berkata, sejak hantarannya tular di laman sosial, banyak sokongan diterimanya, namun terdapat segelintir warganet yang mengecam tindakannya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu memikirkan komen negatif itu kerana apa yang lebih penting adalah pembelaan terhadap haiwan berkenaan.

“Secara logiknya, pembunuhan (haiwan) itu tidak sepatutnya berlaku kerana ada saluran yang disediakan untuk membuat aduan seandainya mereka rasa terancam dengan haiwan itu.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila haiwan itu menjadi mangsa dan ia membuatkan saya terkilan.

“Bagaimanapun, saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan tetapi sebagai pencinta dan penyelamat haiwan, saya tidak akan berdiam diri kerana enggan dianggap bersubahat dengan sebarang bentuk kezaliman,” katanya yang turut dikenali dengan sikap suka menyelamatkan kucing terbiar.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 10:09pm
d