utama

Solat atas jalan raya

Oleh Ahmad Ismail

SEGAMAT: “Kami terpaksa pasang kanopi dan alas tikar di atas jalan raya untuk memuatkan jemaah yang datang,” ujar Ketua Kampung Sepinang, Azman Ahmad berhubung isu masjid terbengkalai di kampung itu sejak April tahun lalu.

Bahkan situasi berkenaan menyebabkan sudah tiga kali rutin solat sunat Aidilfitri terpaksa dilakukan di atas jalan raya selepas bangunan berusia 60 tahun itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan baharu.

Projek pembinaan masjid itu bermula pada penghujung 2016 dan dijangka siap Mei tahun lalu, namun sehingga kini kerja pembinaannya masih tertangguh dan terbengkalai.

Azman berkata, kegagalan projek itu disiapkan dan terbengkalai sejak April tahun lalu menyebabkan kesukaran kepada penduduk menunaikan solat Jumaat dan Aidilfitri.

“Bermula dari tarikh pembinaan, penduduk di Kampung Sepinang terpaksa beralih dengan melaksanakan sembahyang berjemaah di balai raya di sini.

“Bagaimanapun, keluasan dan kemudahan yang ada tidak sesuai untuk digunakan sebagai ruang solat dalam tempoh lama,” katanya.

Katanya, penduduk tidak kisah solat di balai raya kerana beranggapan ia untuk tempoh singkat selepas masjid itu siap pembinaannya mengikut tempoh ditetapkan.

“Bagaimanapun kami terpaksa menggunakan kemudahan di balai raya lebih panjang berikutan kegagalan kontraktor meneruskan pembinaan ini.

“Dari mata kasar keadaan tapak projek yang hampir siap mula dipenuhi belukar dan kami jadi risau kerana tidak tahu status terkini projek pembinaan itu,” katanya.

Katanya, situasi itu turut dibimbangi penduduk kerana bangunan terbengkalai itu mengundang kehadiran pelbagai spesies haiwan berbisa.

“Pada masa sama, kawasan itu masih mempunyai besi cerucuk dan kayu pembinaan yang turut mengancam nyawa ramai pihak,” katanya.

Menurut Azman, setiap kali menjelang Aidilfitri ruang yang terhad di balai raya itu bukan saja dihadiri penduduk setempat tetapi perantau yang pulang ke kampung.

“Bermula Aidilfitri 2017, kami terpaksa pasang kanopi dan alas tikar di atas jalan raya untuk memuatkan jemaah yang datang, malah sehingga raya tahun ini pun, perkara sama masih berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Sri Dr Santhara berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai masalah itu oleh penduduk setempat.

Menurutnya, masalah peruntukan menyebabkan kontraktor sebelum ini gagal menamatkan projek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau sudah memanjangkan isu itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Status terkini yang saya terima adalah menteri di JPM sudah mencadangkan supaya peruntukan bernilai RM1.52 juta bagi menyelesaikan baki pembinaan masjid diluluskan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:00am
d