utama

Kehebatan tembikar Mambong

Oleh Siti Rohana Idris

KUALA KRAI: Siapa sangka di sebuah perkampungan terpencil di pinggir Sungai Galas di sini wujud sebuah bengkel mini memproses barangan tembikar yang beroperasi sejak turun temurun lagi.

Deretan tembikar dari tanah liat dalam bentuk belanga, belanga telinga, bekas bara, buyung, labu sayong, tabung, kendi dan bekas telur tersusun elok hasil seni pembuatan penduduk di Kampung Mambong di sini.

Justeru, barangan tembikar yang terhasil dikenali sebagai Tembikar Mambong disebabkan asal kejadiannya dari kampung berkenaan.

Perusahaan turun temurun sejak lebih 40 tahun lalu itu kini diusahakan oleh Ramli Mat Isa, 53, bersama isterinya, Siti Azah Mat Yaacob, 46, dengan dibantu empat pekerja yang melakukannya secara sambilan memandangkan ia tidak dihasilkan setiap hari dan hanya dibuat sekiranya menerima tempahan.

“Empat pekerja pula adalah terdiri dari penduduk kampung ini juga dan mereka akan datang membuat barangan tembikar ini selepas kerja rutin mereka iaitu menoreh getah.

“Pembuatannya tidak rumit cuma tanah liat untuk menghasilkannya tidak boleh sembarangan dan di sini, saya menggalinya sendiri di Kampung Bahagia yang terletak tidak jauh dari sini kerana tanah liat di situ bersesuaian dengan pembuatan tembikar Mambong.

“Penghasilannya pula tidak selesai dalam masa sehari kerana ia membabitkan beberapa proses dan setiap proses pula memakan masa,” katanya ketika ditemui di bengkel mininya di sini baru-baru ini.

Ramli yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Ugama (SMUA) Saadatul Qura Kampung Bahagia berkata, permintaan terhadap tembikar Mambong sememangnya ada namun dia tidak bersedia untuk mempromosikan barangan tembikar itu secara besar-besaran berikutan tiada pelapis yang mahir menghasilkannya.

“Kini yang tinggal hanyalah generasi warga emas sahaja yang mahir membuat tembikar Mambong manakala generasi muda tidak berminat.

“Disebabkan itu, sesiapa yang ingin mendapatkan pasu Mambong perlu datang ke sini kerana saya tidak mempromosikannya luar dari Kampung Mambong kerana risau tidak mampu menyediakan permintaan yang banyak.

“Bagaimanapun, kami sangat mengalu-alukan wakil dari institusi pengajian tinggi yang datang menjalani latihan praktikal atau melakukan kajian,” katanya.

Sementara itu, bagi Siti Azah pula, perusahaan tembikar Mambong dihasilkan tidak berorientasikan keuntungan semata-mata sebaliknya hanya untuk memastikan warisan pembuatan tidak terus lenyap.

“Jika dikira daripada segi harga memang adakalanya tidak berbaloi tapi saya rasa puas kerana tembikar Mambong masih lagi ada sambutan walau tidak dipromosikan secara besar-besaran.

“Kami masih mampu berbangga kerana permintaannya tetap ada sama ada dari orang perseorangan, syarikat atau agensi kerajaan yang inginkan menjadikan tembikar Mambong sebagai cenderahati,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 7:00am
d