utama

3 remaja maut bertembung sesama sendiri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TIGA remaja maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Bukit Panau-Bukit Mas, dekat Kampung Mentango, Tanah Merah, malam tadi.

Kejadian jam 10.10 malam itu, Muhammad Danial Adam Che Hasim, 17; Abdul Rahman Abdullah, 16, dan Muhammad Nasrun Al Hakim Norl, 14, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila semua mangsa masing-masing menunggang motosikal Honda EX-5, Modenas Kriss dan Yamaha dari arah Bukit Mas menghala ke Bukit Panau.

Katanya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, mereka berlanggar sesama sendiri dan terbabas.

“Kemalangan ini mengakibatkan mereka parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan di kawasan itu satu hala dan satu lorong menghala ke Bukit Panau manakala satu lorong lagi menghala ke Bukit Mas.

“Keadaan jalan lurus dan cuaca baik. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 8:48am
d