utama

Rumah tangga PU Abu bergolak lagi?

Oleh Suraya Roslan dan Redzuan Muharam

“SAYA cuma nak tengok dia (PU Abu) bahagia,” demikian jawapan Nurhannah Azra Mohd Zakir, isteri kepada bekas peserta Pencetus Ummah Muhammad Abu Sufyan Mokhtar Rozaini, 25, atau PU Abu berhubung desas-desus rumah tangga mereka yang dikatakan sudah berakhir.

Nurhannah Azra yang juga pengasas kosmetik berpangkalan di Kedah bagaimanapun enggan mengulas lanjut perihal rumah tangga mereka berikutan berada dalam keadaan emosi kurang stabil.

“Maaf, saya rasa cukup itu saja yang saya dapat kongsikan dengan media,” katanya.

Pasangan itu yang dilaporkan bernikah di Satun, Thailand pada 2 Mei lalu mencetuskan kontroversi apabila berkahwin senyap-senyap sehingga PU Abu menceraikan isteri pertamanya, Ain ‘Afini Latif, 23.

Hubungan pasangan itu dilaporkan mengalami masalah selepas didakwa membawa haluan masing-masing dan tidak lagi tinggal sebumbung .

Nurhannah juga dilaporkan mengesahkan hubungannya dengan PU Abu akan berakhir dengan baik.

Sementara itu, bekas isteri PU Abu, Ain berkata, dia tidak tahu menahu mengenai keretakan hubungan bekas suaminya itu sehingga diberitahu media.

Ain berkata, dia ada berhubung dengan bekas suaminya itu dalam tempoh terdekat tetapi perbualan hanya berkisar mengenai anak lelaki mereka, Muhammad Adam Amsyar yang dilahirkan di Hospital Shah Alam pada 7 Jun lalu.

“Saya enggan mencampuri hal rumah tangga mereka, itu hal mereka. Malah, tiada perancangan untuk kami rujuk semula, bab-bab rujuk saya tak berani nak cakap.

“PU Abu ada kehidupan sendiri, begitu juga dengan saya,” katanya.

Ditanya mengenai ucapan Hana yang mendoakan kebahagiaannya dengan PU Abu, Ain enggan mengulas dan tidak tahu mengenai hal itu.

“Mungkin perlu tanya dia (Nurhannah) kenapa cakap macam itu,” katanya.

Usaha Harian Metro mendapatkan komen PU Abu gagal berikutan panggilan telefon tidak diangkat manakala kiriman Whatsapp yang dihantar juga sekadar dibaca.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 7:38pm
d