utama

'Tolong doakan anak kami'

Oleh Alias Abd Rani

“KAMI tidak meminta simpati orang ramai, namun berharap mereka berdoa semoga anak kami cepat sembuh,” kata Mohd Sebrie Brahim, 30, bapa kepada Nur Annisa Nsyirah, 2, yang mengalami penyakit misteri susulan penemuan benjolan di kepala serta tulang rusuk.

Penyakit dialami anak kedua daripada tiga beradik itu mula dikesan sebelum menjalani pembedahan di Hospital Miri, Sarawak bagi membuang benjolan di kepala pada 23 Jun lalu.

Mohd Sebrie berkata, benjolan lain turut ditemui berhampiran tulang rusuk dan ia seakan-akan ketulan darah beku, tetapi berbentuk lendir membuatkan Nur Annisa kadang-kala mengalami kesakitan.

“Sebelum ini, Nur Annisa mengadu sakit kepala dan apabila kami memeriksa, kami dapati ada benjolan. Kami kemudian membawanya ke hospital sebelum menjalani pembedahan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan ketumbuhan agak besar dan perlu dibuang segera. Alhamdulillah, ketumbuhan sudah dibuang, tapi masih menunggu nasihat doktor sama ada terdapat bahagian lain perlu dibedah.

“Selain tulang rusuk, pemeriksaan lanjut turut menemui benjolan lain di badan dan pihak hospital sudah mengambil darah untuk mengesan penyakit dialami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kisah Mohd Sebrie yang berjalan menggunakan tongkat ditularkan dalam Facebook kenalannya berikutan dia bersusah payah membawa anaknya menjalani rawatan di hospital.

Mohd Sebrie yang juga orang kurang upaya (OKU), kehilangan kaki kiri akibat kemalangan ketika mahu menghulurkan bantuan kepada pengguna jalan raya pada 2015.

Kemalangan berlaku ketika dia mahu membuka but kereta bagi mengeluarkan tayar ganti untuk diberikan kepada seorang pengguna jalan raya yang kebetulan tayar keretanya pancit.

Dia kemudian dirempuh sebuah lori yang menyebabkan Mohd Sebrie tidak sedarkan diri manakala kaki kirinya terpaksa dipotong.

Dia dan isterinya kini mencari pendapatan dengan menjual kuih secara atas talian bagi menyara kehidupan harian.

“Alhamdulillah rezeki sentiasa ada untuk keluarga. Cuma saya risau mengenai Nur Annisa dan kami sering berdoa semoga dia cepat sembuh.

“Keputusan ujian (pengesahan penyakit) Nur Annisa akan diketahui pada 17 Julai ini. Itulah yang merisaukan kami walaupun doktor pernah memberitahu dia berkemungkinan menghidap kanser,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 9:10pm
d