utama

Ayda buru anugerah terbaik

Oleh Norhayati Nordin

MEMENANGI lebih 30 anugerah popular yang dipilih peminat sudah semestinya pencapaian besar buat pelakon dan penyanyi Ayda Jebat.

Kini, fokusnya adalah merangkul anugerah terbaik sama ada dalam karier nyanyian mahupun lakonan.

Meskipun kebelakangan ini dia agak selektif, rezeki berlakon tidak pernah putus. Ada sahaja tawaran yang datang dan akan dipertimbangkan sebaik-baiknya.

“Lebih lima tahun aktif dalam karier seni dan sudah banyak anugerah bagi kategori popular undian peminat dimenangi, saya sangat bersyukur.

“Sekurang-kurangnya untuk populariti saya sudah raih. Sekarang, saya mahu menggenggam trofi anugerah terbaik pula.

“Jadi, saya saya sedang mempertingkatkan usaha untuk mencapai tahap terbaik dalam lakonan dan nyanyian,” katanya.

Sebelum ini Ayda pernah menempa nama dan populariti menerusi drama lakonannya bersama Zul Ariffin seperti Rindu Awak 200 Peratus dan M.A.I.D.

Pada 2014 hingga 2016, nama Ayda juga hangat di arena lakonan dengan pelbagai anugerah dimenangi kerana menjadi pilihan peminat.

Kini, biarpun puluhan drama sudah dibintangi tetapi ‘aura’ Ayda atau nama sebenar Nur Suhada Jebat dikatakan tidak sehebat dahulu.

Menjawab tenang persoalan ini, Ayda berkata dia tidak kisah jika ada yang beranggapan namanya tidak sehangat dulu.

“Kalau ada yang anggap nama saya sudah tak hebat dan sehangat dahulu, biarkan kerana masih ramai lagi menerima.

“Asalkan apa saya buat sekarang tetap diterima dan dirasa berkualiti, itu sudah cukup. Ini kerana, ada potensi yang memang saya nak tunjuk,” ujarnya.

Menurut penyanyi lagu Nakal Nakal Nakal dan Temberang itu lagi, dia juga sudah mengembangkan bakat lakonannya ke Indonesia.

“Insya-Allah, saya akan sambung penggambaran sinetron di Indonesia selepas segala jadual kerja di sini selesai.

“Sekarang, saya sibuk di set penggambaran drama Cindai terbitan JS Pictures sebanyak 15 episod untuk slot Samarinda di TV3,” katanya.

Jelas Ayda, drama Cindai sangat mencabar kerana karakter lakonannya akan berubah daripada sisi baik kepada antagonis.

“Sebagaimana yang saya kata, untuk berjaya mencapai impian merangkul anugerah terbaik, saya harus mendapatkan karya yang bagus.

“Nak kaut semua karya bagus memang tak boleh, jadi saya haruslah membuat pilihan antara karya yang difikir terbaik,” katanya.

Drama Cindai arahan Azman Yahya atau Jinggo menggandingkan Ayda bersama pelakon Syazuwan Hassan sebagai bintang utama.

Barisan pelakon lain pula ialah Niezam Zaidi, Mas Khan, Nazim Othman, Fatin Afeefa, Raysha Rizrose, Heryanto Hassan dan Catriona Ross.

Pada April lalu, Ayda mejadi sebutan menerusi drama Asalkan Dia Bahagia untuk slot Akasia TV3 yang menggandingkannya dengan pelakon Shukri Yahaya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 5:30am
d