utama

Tiada rahsia

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PASIR GUDANG: “Tidak ada apa-apa untuk dirahsiakan. Semua sisa toksik Sungai Kim Kim sudah dihantar secara berperingkat ke Negeri Sembilan untuk proses pelupusan bermula 9 April lalu hingga 29 Mei lalu,” kata Pengarah Teknikal 5E Resources Pasir Gudang, N Shanker.

Beliau mengulas persepsi masyarakat berhubung isu pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang ketika ini yang dikaitkan dengan pencemaran di Sungai Kim Kim.

Beliau berkata, syarikat miliknya adalah antara tiga syarikat diberi tanggungjawab membersihkan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 kilometer (km) bermula jam 9.30 malam, 13 Mac lalu.

Menurutnya, sebanyak 346 tan metrik sisa rawatan dihantar secara berperingkat ke Negeri Sembilan untuk proses pelupusan.

“Setiap kali penghantaran dilakukan, ia membabitkan 20 hingga 36 tan sisa bergantung kepada kapasiti yang boleh diangkat kenderaan berat digunakan ketika itu.

“Semua bahan untuk dilupuskan itu dalam bentuk pepejal tanah kering yang mengandungi Total Organic Carbon (TOC) sebanyak lima peratus,” katanya.

Shanker berkata, seramai 120 pekerja syarikat yang terbabit dalam usaha memindahkan sisa itu tidak mengalami masalah kesihatan dan keadaan itu membuktikan tahap kawalan setiap bahan toksid diuruskan.

“Syarikat saya turut memantau keadaan sisa di kilang dengan menggunakan makmal termasuk melakukan analisis udara di sekeliling kilang.

“Kami melakukan pembungkusan dengan betul berdasarkan pengalaman melakukan kerja-kerja pelupusan bahan haram di Johor sejak 14 tahun lalu,” katanya.

Malah, menurutnya, syarikatnya mempunyai bukti dokumen menunjukkan semua kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sudah dilaksanakan dengan sempurna.

“Ini (dokumen) adalah bukti ketika kita mengambil sisa di Sungai Kim Kim dan semua sisa itu sudah direkodkan.

“Dokumen ini juga mengandungi kronologi bagi aktiviti pembersihan dilakukan dan laporan penuh sudah dihantar ke jabatan kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya semalam.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk membetulkan persepsi serong masyarakat terhadap kes keracunan baharu yang berlaku di Pasir Gudang pada 20 Jun lalu.

“Ramai masih mengaitkannya dengan punca pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

“Apa yang saya lihat, kes pencemaran toksik Sungai Kim Kim pada Mac lalu berbeza dengan kes berlaku bulan lalu walaupun mempunyai simptom loya, pening dan muntah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan mendapati tiada bahan kimia ditemui di dalam darah pesakit,” katanya merujuk pada kes pencemaran udara terbaharu.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 6:30am
d