utama

Fizo, Mawar sah bercerai [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

DESAS-DESUS keretakan rumah tangga pelakon Fizo Omar dan isterinya Mawar, akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, selaku defendan terhadap Mawar Abdul Karim, 30, sebagai plaintif melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.

Permohonan cerai itu dibuat Mawar mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Julai lalu.

Suasana mahkamah bertukar sedih apabila Fizo dan Mawar saling bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri.

Che Abdullah kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Selangor dan sijil nikah dibatalkan.

Terdahulu, ketika prosiding, Che Abdulllah bertanya adakah Fizo bersetuju untuk menceraikan isterinya dan pelakon itu menjawab dia bersetuju kerana sudah tiada keserasian serta persefahaman antara mereka sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, perceraian itu berpunca daripada masalah keluarga dan bukannya orang ketiga.

Pasangan itu yang bernikah pada November 2013 dikurniakan cahaya mata bernama Wan Maryam berusia dua tahun.

Media sebelum ini melaporkan Fizo dalam satu kenyataan memberitahu dia belum bersedia untuk memperincikan kemelut rumah tangga apabila isterinya dilapor sudah mendapatkan khidmat peguam bagi menyelesaikan perkara itu.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 11:30am
d