utama

'Apabila isteri tertawa...'

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA minta pertolongan isteri untuk membuat tempahan, tetapi tak sangka dia memilih hotel berkenaan.

“Namun apa boleh buat, saya terima saja dengan pasrah walaupun agak kekok bermalam di bilik itu dengan rakan lelaki,” kata juruvideo, Zulhelmey Isnin, 29, ketika diminta berkongsi pengalaman lucunya yang ‘terpaksa’ menginap di bilik Hello Kitty di Melaka, semalam.

Pengalaman itu dikongsikan menerusi Twitter miliknya dan mendapat lebih 13,700 ulang ciap serta hampir 9,000 tanda suka setakat 4.30 petang, hari ini.

Bercerita lanjut, Zulhelmey berkata, dia ke Melaka atas urusan kerja iaitu merakam video pra perkahwinan pelanggan di Pantai Klebang, hari ini.

Katanya, memandangkan sesi penggambaran dan fotografi diadakan pada sebelah pagi , dia dan rakannya, Syah Izat Radzuan, 26, mengambil keputusan untuk datang sehari lebih awal supaya dapat tiba tepat pada masa dijanjikan.

“Jadi, saya serahkan urusan tempahan bilik kepada isteri, tetapi ada bertanya kepadanya mengenai lokasi hotel yang ditempah.

“Namun, dia hanya ketawa dan saya tidak memikirkan sangat mengenai perkara itu kerana apa yang lebih penting, ada tempat untuk bermalam.

“Selepas selesai mengemas barang, saya dan rakan terus bertolak ke Melaka pada 10 malam dan tiba dua jam kemudian.

“Kami sangkakan hotel ditempah itu biasa saja, tetapi terkejut apabila masuk ke dalam bilik kerana melihat dinding, katil dan tandas penuh dengan corak bermotifkan kartun Hello Kitty,” katanya.

Zulhelmey berkata, mereka tiada pilihan kecuali bermalam di situ dan bagi berkongsi pengalaman itu, dia mengambil gambar dan memuat naiknya di Twitter bersama kapsyen berseloroh.

Namun, dia tidak menyangka perkongsiannya itu menarik perhatian warganet yang rata-ratanya terhibur serta menganggap pengalaman dilaluinya itu melucukan.

“Saya tidak menghubungi isteri selepas sampai kerana hari sudah lewat malam, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman itu di Twitter.

“Tak sangka pula ramai memberi maklum balas dengan meninggalkan komen dan berkongsi ciapan itu hingga ia tular di laman sosial.

“Apa pun, saya tidak menyalahkannya (isteri) dan menganggap apa yang berlaku sebagai pengalaman melucukan dan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 10:37pm
d