utama

Mencari pelapis - Loque

Oleh Norhayati Nordin

KETIKA segelintir penyanyi generasi kini terkejar-kejar untuk popular, lain pula caranya dengan penyanyi kumpulan MonoLoque iaitu Loque.

Bapa kepada tiga anak perempuan yang aktif di pentas muzik bersama Butterfingers sejak 1993 ini terus cekal mempertahankan identiti Nusantara yang diperjuangkan dalam karyanya.

Loque atau nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar, 41, berkata, dia sedar sudah tiba masa untuknya mencari penyanyi pelapis yang boleh berjuang bersama.

Loque ketika ditemui dalam sesi fotografi bersama RAP berkata, dalam meneruskan perjuangan memartabatkan muzik Nusantara diusahakannya itu, dia perlu ada perancangan strategi untuk masa depan.

“Sejak awal pembabitan saya sebagai pemuzik, komposer dan penyanyi, populariti bukanlah yang dicari. Saya lebih selesa bereksperimen.

“Jadi, bagi memastikan evolusi dalam muzik yang diperjuangkan selama ini tidak ‘hilang’ begitu saja, saya berasakan perlu mencari pelapis berbakat. Apatah lagi, saya pun sudah ada studio sendiri di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan semestinya perancangan untuk misi baharu yang dibuat ini agak mudah dilaksanakan.

“Jadi, saya mengajak dan membuka peluang kepada anak muda yang minat menyanyi serta memiliki vokal mantap untuk tampil menceburi bidang muzik. Mari kita bersama-sama dan berganding bahu dengan misi memartabatkan muzik tradisional dan Nusantara yang berevolusi. Semestinya ia ada kekuatan tersendiri,” katanya.

Loque berkata, sesiapa yang berminat boleh menghantar mesej langsung (DM) kepadanya di Instagram.

Katanya, dia mencari mereka yang memiliki vokal mantap seperti Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Azlan The Typewriter.

“Ia terbuka kepada lelaki dan wanita. Asalkan vokal mantap bolehlah tampil mencuba nasib. Untuk saya, penilaian vokal yang utama manakala pakej penampilan boleh diubah kemudian.

“Bagi saya, bakat anugerah Allah SWT. Jadi, untuk menjadi pemuzik dan penggiat seni berjaya pada masa depan saya tetap yakin bakat adalah tonggaknya. Sekadar minat tapi tidak ada bakat sukar juga untuk diketengahkan. Cuma, jika betul berminat tidak ada salahnya untuk cuba di uji bakat,” katanya.

Walaupun dilihat seakan-akan bergerak solo, Loque berkata, MonoloQue masih aktif bermain muzik termasuk fokus pada urusan kerja di belakang tabir seperti mencipta lagu dan membuat susunan muzik.

Selain Loque sebagai penyanyi, pemain gitar, keyboard dan piano, MonoloQue dianggotai Ijoo (gitar utama/piano), Dax, AJ Pop Shuvit & Efry Arwis (bass, keyboard, perkusi) dan Bakri Ismail (dram, gendang dan perkusi).

PERDENGAR KARYA 9 TAHUN LALU

Walaupun kebanyakan karya MonoloQue cukup mantap melodi dan puitis liriknya, selagi ada ilham pasti aktiviti penciptaan lagu diteruskan.

Oleh itu, hingga kini sebenarnya masih banyak karya MonoloQue dalam album terdahulu disimpan kemas sejak sembilan tahun lalu.

Tidak mahu lagi membiarkan ia terus terperam, Loque akan mengeluarkan semuanya daripada simpanan kotak muzik mereka.

“Saya akan ketengahkan lagu yang lama disimpan itu satu persatu kepada pendengar muzik tanah air. Sama ada lagu itu mampu popular atau sebaliknya, saya tidak peduli.

“Pada saya, daripada disimpan saja selama sembilan tahun, lebih baik diperde­ngarkan. Jika orang suka, alhamdulillah. Tetapi, kalau sebaliknya pula tak mengapa.

“Dalam kehidupan ini, kita tidak mampu memuaskan hati semua orang. Untuk itu, perdengarkannya dan soal penilaian suka atau tidak, ia hak pendengar,” katanya.

Sekitar Mei lalu, MonoloQue tampil dengan lagu baharu berjudul Langgar Lari yang dirakam tahun lalu ketika dapat peluang membuat persembahan di Indonesia.

Kini, terus gigih berkarya, Loque juga memberitahu MonoloQue dalam perancangan menyiapkan album keriga mereka yang muzik dimuatkan lebih bervariasi.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 6:01am
d