utama

Balaci kartel [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Penjualan rokok seludup dalam talian dan di kaki lima secara terbuka menjadi modus operandi terkini digunakan peniaga yang layak digelar ‘balaci’ kepada kartel rokok seludup.

Tindakan bersekongkol peniaga terbabit dilihat mengukuhkan kartel rokok seludup yang menguasai 60 peratus pasaran rokok di Malaysia selain menghilangkan hasil kutipan cukai negara sehingga RM5.1 bilion setahun.

Kehilangan jumlah besar kutipan cukai negara itu didedahkan Pengarah Perundingan Kesan Ekonomi dari Oxford Economics berpangkalan di United Kingdom (UK) Pete Collings pada Persidangan Meja Bulat Isu Penjualan Rokok Seludup di Malaysia yang berlangsung di Hotel Majestic di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, 1,000 batang rokok seludup dijual di seluruh negara pada setiap seminit dan wang jualan haram itu semakin mengukuhkan cengkaman kartel rokok seludup.

Pete turut mendedahkan, berdasarkan kajian senario rokok seludup paling teruk berlaku di Malaysia timur apabila pasaran rokok seludup dijuarai Sarawak yang mencatatkan penembusan 83.5 peratus diikuti Sabah 81.3 peratus.

“Di Malaysia barat, penembusan pasaran rokok seludup tertinggi berlaku di tiga negeri pantai timur iaitu Kelantan membabitkan 78 peratus diikuti Terengganu 76.5 peratus dan Pahang mencatatkan 72.5 peratus penguasaan,” katanya.

Katanya, kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mengkaji semula dasar berkaitan termasuk kadar cukai rokok sah bagi mengatasi kegiatan haram itu selain penguatkuasaan yang menyeluruh perlu dilaksanakan.

Modus operandi terkini peniaga terbabit yang melakukan urus niaga haram secara online atau terbuka di kaki lima premis perniagaan termasuk pasar malam dibuktikan dalam siri tinjauan dilakukan Harian Metro di beberapa negeri seperti ibu kota, Terengganu dan Pahang.

Hasil tinjauan mendapati, sekitar pasar malam harian terkenal di ibu kota antaranya bazar bundle di Chow Kit dan Lorong Haji Taib dengan jelas peniaga rokok seludup seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang apabila menjalankan perniagaan secara terbuka.

Keadaan ini membuka ruang kepada golongan pelajar sekolah untuk mendapatkan bekalan rokok seludup yang dijual dengan harga bermula RM3.50 hingga RM7 sekotak.

Manakala di Kuala Terengganu, Terengganu peniaga rokok seludup yang menjaja di tepi jalan melakukan strategi menarik perhatian pembeli tegar dengan meletakkan lampu siren di samping rak jualan.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini selepas pihak berkuasa kerap melakukan operasi di negeri Pantai Timur itu, peniaga tidak lagi mempamerkan rokok seludup secara terang-terangan di rak jualan tepi jalan.

Rokok sah dipamerkan di rak namun sekiranya pelanggan mahukan rokok seludup, peniaga akan mengeluarkan barang dari bawah meja lipat atau yang disimpan dalam beberapa kotak saiz sederhana.

Di Kuantan, Pahang pula peniaga rokok seludup menggunakan taktik seperti jualan langsung dengan membawa beg pakaian berisi rokok untuk dijaja.

Selain jualan fizikal secara bersemuka, ada peniaga menjual rokok seludup itu secara dalam talian dan menghantar terus kepada pembeli melalui pos.

Carian di Facebook (FB) menunjukkan beberapa akaun di FB mengiklankan penjualan rokok seludup antaranya Rokok Murah Malaysia.

Pelbagai jenama rokok biasa dilihat di rak kedai runcit dan beberapa jenama jarang didengari itu dijual serendah RM29 sekarton dan paling mahal sekitar RM106.

Berdasarkan komen netizen di setiap siaran hantaran oleh pengendali akaun FB itu, ada antara mereka mahukan rokok seludup itu dengan jumlah banyak untuk berniaga kecil-kecilan.

Malah, ada netizen meninggalkan nombor telefon bimbit untuk mendapatkan stok tanpa menyedari tindakan itu boleh mengundang padah termasuk ditangkap pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, sumber mendedahkan, biarpun Seksyen 135 (1) (i) memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu denda antara RM100,000 hingga RM1 juta termasuk penjara sindiket seolah-olah tidak mempedulikan perkara itu.

Katanya, disebabkan permintaan tinggi dan sindiket menguasai sehingga 60 peratus pasaran rokok di Malaysia mereka masih mampu meyakinkan peniaga untuk menjual pelbagai jenis rokok seludup seperti U2, John Dblend, Luffman, Canyon, DJ dan banyak lagi.

Tambahnya, kartel yang mengaut keuntungan mudah hasil jualan berkenaan turut berselindung di sebalik setem cukai palsu sebelum memasarkan rokok seludup kononnya secara sah.

Untuk rekod, setem cukai palsu yang hampir menyamai setem cukai dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sukar dikenal pasti orang awam kerana ketulenannya hanya boleh dikesan menggunakan alat SM45.

Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 11:01am
d