utama

Alhamdulillah, Nurulnaim akan pulang

Oleh Nor Farhani Che Ad

“ALHAMDULILLAH, Nurulnaim sudah ditemui dan dia dijangka pulang pada 27 Julai ini untuk bertemu ibu bapanya,” kata Nurul Hakim Mohd Noor, 41, sepupu kepada Nurulnaim Mohd Nordin, 41, yang menghilangkan diri sejak 2013.

Katanya, Nurulnaim dijumpa pada hari yang sama selepas berita berhubung pencariannya dipaparkan menerusi Harian Metro, Khamis lalu.

Nurul Hakim berkata, sepupunya itu ditemui oleh Nurulhadi, 33, iaitu adik Nurulnaim di sekitar Klang, Selangor selepas diberi maklumat oleh beberapa orang awam termasuk seorang rakan sekerja Nurulnaim.

“Menurut Nurulhadi, dia menerima empat panggilan daripada orang ramai yang memberikan maklumat mengenai Nurulnaim.

“Salah seorangnya turut memberikan lokasi tempat tinggalnya sebelum adiknya yang tinggal di Tanjung Malim, Perak, bergegas ke lokasi yang dimaksudkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Hakim berkata, petang semalam, Nurulnaim ada membuat panggilan video kepada ibu bapanya memaklumkan bahawa dia akan pulang menemani ibunya yang mengidap barah payudara dan ketumbuhan di leher untuk menjalani rawatan susulan.

“Dalam panggilan video itu, semua ahli keluarga menangis termasuk Nurulnaim sendiri kerana tidak dapat menahan kesedihan selepas sekian lama tidak berjumpa.

“Kami harap, dia selamat pulang pada tarikh yang dikatakan dan kami sekeluarga berhasrat berbincang dengannya sekiranya dia mempunyai masalah yang boleh kami bantu,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hakim mewakili ahli keluarga Nurulnaim mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan orang ramai dalam mencari sepupunya itu sehingga dia berjaya ditemui.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sama ada yang memberikan maklumat, menularkan kisah ini dan yang mendoakan urusan mencarinya dipermudahkan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Baliklah Nurulnaim...
  • Disiarkan pada: July 13, 2019 @ 1:43pm
    d