utama

Bukan kembar!

Oleh Yusri Abdul Malek

MAKKAH: Jika ada Zabidi, mesti ada Zakariah. Malah, mereka juga memiliki wajah seiras walaupun bukan kembar.

Malah, jika ada mereka berdua, pasti muncul pula Maimon, kakak mereka yang jarak umurnya rapat.

Begitu mesra mereka sejak kecil dan kini diberi rezeki oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya bagi mengerjakan haji tahun ini.

Tiga beradik itu, Maimon Mohd Zin, 63, Zakariah, 60, dan Zabidi, 59, yang membuat pendaftaran mengerjakan haji pada 2008 tidak menyangka dipanggil sekali gus.

Zakariah berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan haji bersama kakak dan adik pada tahun ini.

Katanya, mereka semua dilahirkan di Singapura kerana bapa ketika itu bekerja sebagai tentera British.

“Orang kerap tertukar antara saya dan Zabidi kerana wajah kami hampir seiras dan kami pula tinggal di kawasan sama di Sungai Petani, Kedah.

“Kakak di Kampung Berapit, Tikam Batu...saya di Taman Rhu di kawasan sama manakala Zabidi di Taman Prima Resedensi Utama, Sungai Petani,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya sebelum ini, mereka ada membuat rayuan dengan Tabung Haji dan sudah jadi rezeki ke Tanah Suci bersama-sama pasangan tahun ini.

Bagi Zabidi, sejak kecil, mereka bertiga memang rapat juga bersama enam adik-beradik yang lain.

Pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu berkata, sejak tahu dapat pergi Makkah, semua mereka merancang membeli keperluan bersama-sama.

“Kami juga mengikut kursus haji bersama-sama. Boleh kata, apa saja keperluan di Tanah Suci, kami rancang bersama,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 19 tahun.

Maimon yang juga anak kedua berkata, dia dan suami, Marzuki Din paling awal tahu dapat tawaran mengerjakan haji.

“Bila dua adik tahu, mereka juga buat semakan dan Alhamdulillah, dapat juga pergi pada tahun sama. Namun tidak menyangka akan pergi menaiki pesawat dan tinggal di maktab sama, ” katanya yang ada empat cucu dan lima anak berusia 17 hingga 40 tahun.

Baginya, pemergian mereka tiga beradik mengerjakan haji tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Bersyukur sangat kerana suami sebilik dengan Zabidi dan Zakariah, manakala saya dan dua adik ipar juga duduk sebilik.

“Suami saya pesara kakitangan farmasi Kementerian Kesihatan, jadi segala ubat-ubatan yang perlu sudah disediakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2019 @ 5:20am
d