utama

Musibah pukat tunda ganding

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Tidak mustahil Malaysia akan mengimport semula ikan dan hasil laut ‘dirompak’ nelayan Vietnam dari perairan negara bagi menampung permintaan pasaran tempatan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, nelayan asing itu rakus mengaut hasil laut di perairan negara menggunakan teknik tidak dibenarkan pihak berkuasa.

Menurutnya, aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah pukat tunda ganding kebiasaannya membabitkan radius satu kilometer turut memerangkap hasil laut belum matang.

“Jika masalah ini tidak diatasi secepat mungkin, Malaysia akan bergantung kepada ikan import yang mungkin sebenarnya ditangkap di perairan kita (Malaysia) oleh nelayan asing.

“Keadaan itu menyebabkan negara kehilangan hasil dalam jumlah besar dan mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk mengimport bekalan ikan dari luar negara,” katanya.

Mazlan berkata, ikan bernilai tinggi yang banyak di perairan negara mendorong nelayan asing melakukan pencerobohan.

Katanya, bagi menjimatkan masa dan mengaut hasil tangkapan dalam jumlah banyak nelayan asing menggunakan kaedah pukat tunda ganding.

“Ekosistem marin perlu dipulihara dan Jabatan Perikanan mengenakan syarat ketat dalam hal penggunaan pukat bagi memastikan hasil laut sudah matang saja ditangkap.

Sementara itu, Ketua Program Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Prof Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat berkata, pendapatan sektor perikanan mencecah RM8 bilion setahun bakal terjejas sekiranya masalah ini tidak diatasi sebaik mungkin.

Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan perlu memainkan peranan selaras dengan dasar ditetapkan kerajaan menerusi Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU).

“Bagi Asean ada beberapa usaha dan mekanisme serantau untuk menangani masalah ini sudah dibincangkan menerusi Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC).

“Jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam sektor perikanan ini perlu diperkasakan mekanisme pemantauan, pengawalan dan pengawasan termasuk menambah aset seperti kapal ronda dan anggota penguat kuasa,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 6:31am
d