utama

Tiada kenaikan tarif elektrik

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TIADA kenaikan tarif elektrik bagi semua kategori pengguna untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kos yang perlu dilepaskan kepada pengguna walaupun terdapat peningkatan kos yang tinggi dalam penjanaan elektrik.

“Menerusi Suruhanjaya Tenaga, kerajaan membuat pelarasan ke atas hasil dan kos elektrik pada tahun 2018 dan 2019, dan berjaya mendapat jumlah penjimatan sebanyak RM 336.7 juta.

“Selain itu, Kementerian juga mendapat kelulusan kabinet untuk menyumbang subsidi kepada tarif elektrik melalui peruntukan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM107.16 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai adakah kerajaan akan mengkaji semula tarif elektrik baru berikutan pergerakan harga arang batu dan gas asli yang merosot di pasaran antarabangsa sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut beliau lagi, sejak 2015 kerajaan melaksanakan penentuan tarif elektrik berdasarkan mekanisma kawal selia berasaskan insentif (IBR).

Katanya, menerusi mekanisma itu, tarif asas elektrik disemak setiap tiga tahun di mana tempoh regulatori pertama bermula tahun 2015 hingga 2017 dan tempoh kedua IBR bermula 2018 hingga 2020.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 1:55pm
d