utama

Isu video: Haziq ditahan kali kedua

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

INDIVIDU yang mengaku sebagai lelaki dalam video seks, Haziq Abdullah, 27, ditahan untuk kali kedua bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang, malam semalam.

Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong itu ditahan bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, sekitar jam 9 malam.

Difahamkan, penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui Haziq sendiri sebagai salah seorang individu dirakam.

Difahamkan juga polis turut merampas lima telefon pintar serta kad sim.

Sumber berkata, ketika tangkapan dibuat, polis turut menahan seorang lagi ahli parti PKR berusia 36 tahun di sebuah restoran di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan merampas telefon pintar sebelum dibawa ke kediamannya di sebuah apartmen di Taman Bukit Subang, Bandar Sunway, untuk pemeriksaan lanjut.

“Pasukan polis terdiri daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di USJ 1, Subang Jaya dan merampas enam telefon bimbit pelbagai model dan kad sim,” katanya.

Sementara itu, sumber dalaman polis mengesahkan penahanan Haziq serta beberapa individu lain itu namun enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, semua mereka akan direman hari ini.

Terdahulu, pada 14 Jun lalu, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Penahanan Haziq ketika bertujuan membantu siasatan berhubung penyebaran video seks didakwa dilakukannya dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berita berkaitan

Dalang sebar video Haziq dikenal pasti

Polis masih siasat video seks

PKR pecat Haziq

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 2:08pm
d