utama

Spiderman rupanya lelaki Bangladesh

Oleh Nur Saliawati Salberi

KELICIKAN seorang lelaki warga Bangladesh menyalahgunakan pas pelancongnya dengan menjadi ‘Spiderman’ akhirnya membawa padah apabila dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka, petang semalam.

Lelaki terbabit dicekup pada 4.20 petang ketika menanti pelancong untuk bergambar bersamanya.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Abdullah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu memakai kostum adiwira berkenaan bagi mendapatkan wang daripada kanak-kanak dan pelancong yang bergambar dengannya.

Beliau berkata, hasil daripada risikan dibuat pegawainya, lelaki terbabit mengenakan caj RM5 bagi setiap gambar diambil bersamanya selain turut mempunyai pembantu iaitu seorang wanita berusia 40-an dan kanak-kanak yang membantunya menjual barangan permainan.

“Difahamkan dia sebelum ini mempunyai majikan, tetapi kini sudah bergerak sendiri.

“Lelaki itu akan pergi ke tempat tumpuan pelancong untuk mencari kanak-kanak dan dia hanya berada di sesuatu tempat dalam tempoh singkat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati dia turut membawa salinan dokumen palsu.

Menurutnya, lelaki terbabit kini ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 5:28pm
d