utama

'Wan memang istimewa...'

Oleh Redzuan Muharam

“KAMI sudah menganggapnya sebahagian daripada warga sekolah dan tidak pernah rasa terbeban, jauh sekali terganggu dengan kehadirannya,” kata Ahmad Zulkifie Hamid, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Janggus, Alor Setar, Kedah.

Baru-baru ini, Ahmad Zulkifie memuat naik hantaran di Facebook mengenai seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom Down, Mohd Ikhwan, 32, atau lebih mesra dengan panggilan Wan yang rajin datang ke sekolah dan menghulurkan bantuan kepada murid dan guru secara sukarela.

Hantaran dimuat naik di kumpulan Kami Guru Malaysia itu ternyata menarik perhatian warga pendidik dan pengikut dengan rata-ratanya memuji kesungguhan Wan ke sekolah walaupun berstatus OKU.

Bercerita lanjut, Ahmad Zulkifie berkata, Wan menetap di kawasan perumahan berhampiran dan akan ke sekolah sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu untuk turut serta dalam aktiviti membabitkan guru dan murid.

Beliau berkata, Ahmad Zulkifie, walaupun berstatus OKU, Wan bijak mengikut arahan dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada pihak sekolah atau mengganggu sesi pengajaran serta pembelajaran (P&P).

“Wan kerap hadir ke sekolah sejak 10 tahun lalu dan kebiasaannya pada waktu pagi atau tengah hari dengan menaiki basikal dari rumahnya.

“Menariknya, seawal 7 pagi lagi, Wan sudah berada di pagar sekolah bersama-sama dengan guru bagi menyambut kedatangan murid.

“Dia seorang peramah dan sikapnya itu disenangi warga sekolah tidak kira murid, guru mahupun kakitangan lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Zulkifie berkata, sesekali Wan turut hadir ke perhimpunan diadakan sebelum bermulanya sesi P&P.

“Namun, Wan tidak banyak kerenah atau meragam sebaliknya dia hanya duduk diam di barisan belakang ketika sesi perhimpunan diadakan.

“Kami sudah mengajarnya untuk menjaga batas dengan hanya bersalaman dengan murid dan guru lelaki selain menunjukkan tandas mana boleh digunakan atau sebaliknya.

“Setakat ini, dia boleh mengikut arahan dan apabila ada majlis atau aktiviti, dia menawarkan diri untuk membantu, jadi kami tidak rasa kehadirannya memberi masalah kepada pihak sekolah,” katanya.

Ahmad Zulkifie berkata, kehadiran Wan turut mendidik guru dan murid sekolah untuk lebih prihatin dengan golongan kurang bernasib khasnya OKU.

Menurutnya, dia serta guru lain sentiasa mengingatkan murid untuk membantu dan melayan Wan dengan baik sepanjang berada di kawasan sekolah.

“Malah, ada guru mendermakan kemeja dan tali leher selain membuat tanda nama supaya dia datang ke sekolah dengan penampilan seperti seorang guru serta rasa dihargai.

“Guru Besar, Tajudin Mat turut mengalukan kedatangan Wan dan kami akan berasa hairan jika dia tidak datang ke sekolah kerana rutin itu sudah menjadi kebiasaannya,” katanya.

Mengenai perkongsiannya di Facebook, Ahmad Zulkifie berkata, niatnya hanya untuk memupuk kesedaran dalam kalangan warga pendidik terhadap OKU dan mereka yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata, kehadiran Wan banyak menyedarkan dirinya serta warga sekolah bahawa kesempurnaan bukan segala-galanya dan ketidaksempurnaan pula bukan alasan semata-mata.

Disiarkan pada: July 15, 2019 @ 9:55pm
d