utama

Irama mekar sepanjang zaman

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENGANJURAN konsert Rockestra Lagenda yang berlangsung di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, Sabtu lalu menarik lebih 1,500 peminat muzik rock tempatan.

Konsert anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) itu mengembalikan nostalgia kegemilangan muzik rock di negara ini dengan penampilan penyanyi rock popular era 80-an dan 90-an seperti Datuk Nash, Man Kidal, Mus, Datuk Hattan, Bandi Amuk, Yantzen Rusty Blade, Ajin Black Rose, Karl Dinamik, Hatta Junction dan Candy.

Pemegang amanah penganjuran konsert itu, Nash berkata, muzik rock memiliki peminat tersendiri dan terus mekar zaman berzaman.

“Sambutan malam ini (Sabtu lalu) sememangnya luar biasa dan dapat diperhatikan semua tempat duduk penuh. Rock tidak akan lapuk ditelan zaman dan akan kekal dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Hadir sama memberi sokongan kepada konsert berkenaan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Nash berkata, pada malam itu 20 lagu dipersembahkan dan mereka gembira dengan sokongan yang diterima. “Persembahan ini mencipta kelainan apabila muzik diiringi Orkestra DBKL dan bukannya kumpulan asal penyanyi terbabit,” katanya.

Nash yang juga penyanyi Lefthanded turut mengharapkan konsert sama dianjurkan pada masa depan bagi memberi peluang kepada lebih 300 penyanyi rock dan legenda tanah air.

“Lagu rock berbeza berbanding lagu sekarang. Ia amat dekat di hati peminat dan sering dinyanyikan kerana melodinya yang memukau. Lagipun, lirik lagu lama bukan sekadar hiburan sebaliknya menjadi nasihat dan teguran kepada peminat,” katanya.

Sementara itu, Bandi Amuk turut teruja dengan kehadiran ramai peminat yang memberikan sokongan apabila menyanyikan sama lagu yang didendangkan.

“Sejak berada dalam industri muzik pada 1979, muzik rock tidak pernah senyap dan sentiasa berada dalam pasaran.

“Genre ini dekat di hati peminat dan dinyanyikan berulang kali kerana lagu rock memberi manfaat kepada orang lain melalui teguran,” katanya.

Bekas anggota kumpulan Febians itu berpuas hati dengan konsert berkenaan dan memperdengarkan tiga lagu iaitu Akar dan Bumi, Matahari dan Untukmu Sayang.

Dalam pada itu, bekas penyanyi MAY, Mus gembira apabila dia dapat mengubati kerinduan peminat.

Menurut Mus, muzik rock diminati segenap lapisan masyarakat yang berusia antara 20 hingga 60 tahun.

“Rock sangat menyerlah menerusi lagu berunsur nasihat, cinta dan teguran biarpun ia dinyanyikan dalam muzik yang agak keras.

“Muzik ini memiliki peminat tersendiri kerana lagu disusun dengan cantik dan melodi yang menarik perhatian. Sebagai penya­nyi berpengalaman, saya sarankan penyanyi baharu supaya lebih berkeyakinan ketika membuat persembahan,” katanya yang bakal muncul dengan single solo terbaharu.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 5:30am
d