utama

Tiga jam potong pukat

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Penyelam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil masa tiga jam bagi membuang tali dan pukat yang dilemparkan nelayan Vietnam ketika cubaan meloloskan diri dari penguat kuasa kira-kira 97 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Kelantan, Selasa lalu.

Pegawai Memerintah KM Pekan Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, empat kru penyelam APMM dikerahkan bagi memotong tali dan pukat yang tersangkut pada kipas KM Pekan milik agensi itu.

“KM Pekan masih boleh bergerak cuma mengalami sedikit gegaran selepas tali dan pukat dibuang nelayan Vietnam tersangkut pada kipas.

“Sehubungan itu, empat penyelam diturunkan ke laut bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi sehari selepas kejadian (Rabu).

“Selepas pukat dan tali sepanjang antara 50 hingga 200 meter dan ketebalan 2 inci (5cm) hingga 4 inci (10cm) berjaya dipotong, keadaan KM Pekan kembali normal,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian yang berlaku pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika dari sempadan Malaysia-Vietnam itu, sebuah daripada dua bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara itu cuba bertindak ganas meloloskan diri.

“Satu daripada bot berkenaan tumpas manakala sebuah lagi berani mengambil risiko dan bertindak agresif dengan melemparkan tali bersaiz 6 inci (15.2cm) selepas cubaan pertama mereka gagal.

“Tindakan itu menyebabkan kapal KM Pekan gagal menghampiri bot kerana kipas tersangkut namun tangkapan ke atas bot Vietnam itu berhasil dengan bantuan bot dinaiki enam kru APMM.

“Semasa kejadian, tekong dilihat mengikat tali pada stereng bot dan awak-awak bersiap sedia untuk terjun ke laut manakala alat navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) dibuang ke laut untuk dijadikan alasan tidak sedar berada di kawasan perairan Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, tekong berkenaan sudah mabuk kerana disyaki mengambil minuman keras,” katanya.

Selasa lalu, kru KM Pekan mengambil masa empat jam sebelum berjaya memintas bot nelayan Vietnam yang melanggar KM Pekan dalam cubaan meloloskan diri.

Ini gara-gara nelayan Vietnam itu membuang tali dan pukat ke laut supaya menyekat kipas dan menghalang pergerakan KM Pekan.

Sebelum ini, Harian Metro secara eksklusif dalam laporan bersiri mendedahkan wujud komplot mencuri hasil sumber laut negara melalui kegiatan bot klon dan lesen ali baba.

Kegiatan yang berleluasa sejak beberapa tahun lalu dikatakan kebal daripada undang-undang Malaysia di mana ia dibantu oleh dalang rakyat Vietnam yang menetap di negara ini serta orang dalam pihak berkuasa sendiri.

Pendedahan itu turut mendapat perhatian Dewan Rakyat yang seterusnya meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, Selasa lalu.

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 5:50am
d