utama

Radhi akan cuba rujuk Ayu [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA akan cuba rujuk dengan Ayu. Allah bagi pilihan begini takkan saya nak ingkar," demikian kata Radhi OAG selepas disahkan bercerai talak satu dengan isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, hari ini.

Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 41, berkata, apapun berlaku dia perlu meneruskan kehidupannya seperti biasa selepas ini.

"Islam memang cantik. Kenapa Islam bagi pilihan talak. Allah juga bagi pilihan untuk cerai dan rujuk.

"Dugaan ini adalah cara Allah menegur saya dan yakin apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Dalam proses nak merujuk ini, saya perlu ada perancangan baru dalam hidup," katanya.

Radhi turut mengakui anak akan terkesan dengan penceraian itu dan apa yang dilakukan adalah demi mereka.

Sementara itu, Ayu atau nama sebenarnya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 25, mengakui berasa lega dengan keputusan itu.

"Alhamdulillah semuanya dah selesai. Saya tidak tahu lagi perancangan masa depan.

"Berkenaan rujuk itu saya masih tidak fikir apa-apa lagi.

"Saya minta maaf tidak dapat berkongsi sama ada masih wujud perasaan sayang terhadapnya," katanya.

Ayu bagaimanapun menjelaskan mereka masih boleh kekal berkawan seperti biasa.

"Hari ini pun kami jumpa macam kawan. Rumah kami pun dekat saja untuk dia datang lawat anak.

"Saya akan tinggal dengan keluarga dan buat masa ini akan bagi masa untuk diri sendiri.

"Kalau dia kata nak berubah, itu baguslah untuk semua orang terutama anak kami," katanya.

Dia juga mengakui tidak menetapkan masa tertentu untuk Radhi datang melawat anak mereka.

"Kalau dia rasa nak jumpa datanglah rumah," katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 serta dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Radhi melafazkan talak terhadap Ayu pada jam 4.20 pagi 25 Mac lalu.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, 14.

Berita berkaitan

Radhi OAG duda kali kedua

Disiarkan pada: July 16, 2019 @ 1:34pm
d