rap

Anak Eizlan terbabit kemalangan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PELAKON cilik, Zareef Yusof, 9, yang juga anak kepada pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof terselamat namun ibu saudaranya cedera di dahi dan hidung dalam kemalangan di Sabak Bernam, hari ini.

Penerbit drama Mak Cun musim kelima, Erma Fatima berkata, kejadian berlaku 8 pagi ketika Zareef dibawa ibu saudaranya menaiki kereta Toyota Vios.

Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari sebuah hotel di Sabak Bernam menuju ke set penggambaran drama itu yang terletak berdekatan.

Sebelum kejadian katanya, kenderaan dipandu ibu saudara Zareef dikenali Zazoo berada di hadapan manakala kereta yang dinaikinya mengekori dari belakang.

"Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta di jalan bertentangan hilang kawalan lalu merempuh kereta yang dipandu Zazoo. Akibatnya, kenderaan dinaiki Zareef terbalik menyebabkan kami ketakutan," katanya ketika dihubungi.

Erma berkata, dia bergegas ke kenderaan dinaiki Zareef dan bersyukur mendapati pelakon cilik itu langsung tidak cedera.

"Zazoo bagaimanapun cedera di dahi serta hidung lalu dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sabak Bernam," katanya.

Menurut Erma, dia yang menyaksikan kemalangan itu menjerit ketakutan dan bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku.

"Saya difahamkan penduduk, laluan di situ sering berlaku kemalangan," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 3:23pm
d