utama

Naim enggan panjangkan isu Sumpah

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEBAIK lagu Sumpah popular, nama pencipta dan penyanyi, Naim Daniel menjadi perhatian ramai. Tempias angin populariti mula dirasai Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin apabila karya dihasilkan turut menjadi isu.

Selain menyanyi, Naim yang turut aktif berlakon didakwa menghasilkan lagu Sumpah bersama bekas juara program realiti Idola Kecil, Dayana namun namanya tidak disertakan sebagai pencipta bersama.

Sebelum itu ibu Dayana, Aida Daud meluahkan rasa kecewa menerusi Instagram (IG) Story miliknya apabila Naim mengeluarkan lagu Sumpah tanpa kebenaran sedangkan ia dihasilkan bersama anaknya.

Katanya, Dayana atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana tidak dimaklumkan perkara terbabit malah Naim tidak meminta izin berkaitan hak cipta bersama.

Isu ini ditimbulkan apabila ada pihak memetik temu bual Naim dengan seorang penyampai radio. Dalam temu bual berkenaan pelakon drama bersiri Pia itu mengucapkan selamat pengantin baharu dan mendoakan bekas kekasihnya berbahagia.

Ramai netizen menyedari perkara itu mengaitkan ucapan diberikan Naim adalah untuk Dayana yang kebetulan baru saja berkahwin dengan pelakon, Hadi Mazlan.

Sebaik isu hangat diperkatakan netizen, ibu Dayana memuat naik kenyataan berkenaan dan mengharapkan anaknya tidak lagi dikaitkan dengan Naim.

Naim sewaktu dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai kontroversi cuba dikaitkan dengan dirinya mahupun lagu Sumpah yang dicipta.

“Bagi saya masalah yang ditimbulkan itu sudah lama diselesaikan dan enggan memberikan sebarang kenyataan mengenainya kerana tidak mahu memanjangkan isu terbabit,” katanya.

Kata Naim, dia juga sudah membicarakan mengenai isu berkenaan dengan pihak terbabit dan segala-galanya dianggap selesai.

Membicarakan mengenai dirinya dipalit isu dan kontroversi, kata Naim sebagai penggiat seni dia sedar tidak boleh lari daripada berhadapan perkara terbabit.

“Setiap orang akan melaluinya. Naik dan turun itu adalah sebahagian daripada resam hidup. Cuma, saya mengharapkan segala tuduhan dihentikan,” katanya.

Memberikan komen mengenai lagu Sumpah yang kini menjadi kegilaan ramai, kata Naim setiap orang ada rezeki masing-masing.

“Sebagai pengkarya saya akan terus memberikan fokus dan menghasilkan lagu yang boleh membanggakan semua orang.

“Pada waktu sama saya akan terus menghasilkan lebih banyak lagu yang diharapkan dapat memenangi hati peminat,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 5:00am
d