utama

'Waze' guna suara anak [METROTV]

Oleh Alias Abd Rani

HANYA sekadar suka-suka. Namun, siapa menduga suara seorang kanak-kanak lelaki yang direkodkan bapanya dalam aplikasi Waze mencetuskan fenomena luar biasa hingga menarik minat orang ramai untuk mencuba.

Suara Muhammad Rayyan Mikael Mohd Rifdi, 4, direkodkan bapanya, Mohd Rifdi Rosli, 30, sebelum dimuat naik dalam Twitter hingga mendapat 35,000 ulang ciapan, 27,000 tanda suka serta 275 kali dibalas netizen.

Mohd Rifdi berkata, sebelum itu dia tidak terlintas untuk membuat rakaman sebelum meminta anak sulung daripada dua beradik bercakap mengikut arahan diberikan.

“Mulanya, ia sekadar suka-suka tapi saya cuba menggunakan rakaman suara itu ketika menggunakan Waze. Apabila dengar, saya mulanya ketawa memandangkan suara anak agak manja.

“Saya kemudian berkongsi pengalaman ini dengan memuat naik dalam Twitter minggu lalu namun tidak menjangka ia mendapat sambutan hangat.

“Jika sebelum ini, apabila kita membuka Waze, suara ‘orang putih’ keluar. Kadangkala, kita tidak faham apa disebut.

“Ada rakan bertanyakan bagaimana saya melakukannya, dan tidak kurang ada yang memuji,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beberapa netizen membalas ulang ciapan, antaranya: “@EngkuLiyana, Aku sebagai grab driver pengguna tegar waze ingin sekali meminjam voice anak anda. Kalau ada pax buat hal pun dengar suara anak hang teruih hati sejuk wehhhh. Sweetheart sangatttt

“@WanaaaaaaIi, mcm ni nak je ikut jalan jauh then buat2 terlepas jalan. @najibkamaruddin alahah omeii nyeww. @asdkjkhl_ So cutebaby boy.”️

Menurut Mohd Rifdi, dia kerap menggunakan aplikasi itu kerana memudahkannya membuat jangkaan masa untuk tiba di lokasi selain melalui jalan kurang sesak.

“Setiap kali membuka Waze baik ke tempat kerja atau ke mana-mana, saya seronok kerana dapat mendengar suara anak. Lagipun, ia mengubat kerinduan membolehkan saya mahu pulang segera ke rumah serta mengeratkan kasih sayang antara kami.

“Walaupun penat bekerja, apabila mendengar suara anak yang dirakam, semuanya pasti hilang,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 9:30pm
d