utama

Fizz Fairuz cari kesesuaian

Oleh Syanty Octavia Amry

MESKIPUN wajahnya jarang menghiasi kaca televisyen, Fizz Fairuz mengakui tawaran berlakon tidak pernah putus.

Namun, ada yang terpaksa ditolak berikutan gandingan kurang sesuai.

Fizz, 39, berkata, bukanlah sombong atau terlalu memilih tetapi kebanjiran pelakon baharu menuntut dia bertindak demikian.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon sentiasa ada tetapi apabila gandingan kurang sesuai dan permintaan untuk menukar gandingan tidak diterima saya terpaksa tarik diri.

“Bukan hendak berlagak kerana sudah lama berlakon tetapi saya sedih melihat kebanyakan pelakon sekarang lebih memikirkan populariti berbanding kualiti lakonan.

“Pernah saya cuba berlakon dengan pelakon baharu tetapi mereka langsung tidak bersungguh hingga lakonan kami hambar sedangkan jalan cerita sangat menarik,” katanya.

Fizz lebih selesa bekerjasama dengan pelakon lama dan berpengalaman.

Malah, apabila dapat skrip dia akan berbincang dengan pengarah jika ada yang boleh diolah dan andai sebaliknya dia sanggup melepaskan watak yang ditawarkan kepadanya.

“Pelakon sekarang terlalu mengejar populariti. Mungkin mereka rasa sudah ramai pengikut di laman sosial.

“Disebabkan itu, mereka terlupa untuk menjaga kualiti lakonan, kerja ala kadar dan tiada penghayatan,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Jodoh Jodoh Annisa dan Kamar Kamariah itu berhasrat menerbitkan filem tidak lama lagi.

Filem sulung itu dijangka bergenre kerohanian bersesuaian dengan cita asa penonton masa kini.

“Saya sudah berbincang dengan Syamsul Yusof dan dia akan membantu saya untuk kerja belakang tabir.

“Filem Islamik ini dalam perbincangan dan penggambaran dijangka bermula Oktober ini.

“Skrip dan senarai pelakon sudah ada. Insya-Allah, selain menerbit dan mengarah, saya juga akan membintangi filem ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:30am
d