utama

3 paling berpotensi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JOHOR BAHRU: Sebanyak tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang dianggap paling berpotensi tinggi sebagai punca kehadiran bau gas beracun methyl mercaptan di kawasan itu sejak 20 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar berkata, siasatan masih dijalankan dan tiga kilang berkenaan ditahan operasi sementara menunggu izin pendakwaan untuk tujuan dakwa di mahkamah.

“Kami tidak boleh mendedahkan identiti kilang itu memandangkan masih dalam proses melengkapkan pembuktian dan menyediakan kertas siasatan.

“Tiga kilang ini adalah kilang berdaftar, namun kami dapati gas methyl mercaptan ini wujud dalam proses pengeluaran kilang selain dalam bahan buangannya,” katanya pada sidang media khas rumusan insiden gangguan kesihatan Pasir Gudang di Pejabat JAS Negeri Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JAS Negeri Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Ditanya asas utama tiga kilang itu disyaki sebagai punca, Norlin berkata, ia berikutan tiga kilang itu dikenal pasti selepas proses penyisihan dijalankan ke atas 257 kilang bahan kimia di Pasir Gudang, selain lokasinya dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4.

Katanya, bacaan kehadiran gas berkenaan antara yang tertinggi di tiga kilang berkenaan pada hari kedua dan ketiga sejak insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang

“Bacaan tertinggi gas methyl mercaptan yang kita dapat di kilang itu adalah 130 partikal per sejuta (ppm) melebihi tahap standard atau selamat 40 ppm.

“Kami kenal pasti kilang ini yang berpotensi mengeluarkan bau gas berkenaan dan mengesyaki ia boleh menyebabkan simptom muntah, loya dan sesak nafas walaupun gas berkenaan tidak dikesan dalam ujian darah dan air kencing mereka yang terjejas,” katanya.

Menurut Norlin, berdasarkan 3,275 bacaan yang dicerap JAS sejak 20 Jun lalu, hanya tiga gas yang dikesan iaitu methyl mercaptan, akrolin dan akrilonitril, namun hanya methyl mercaptan mempunyai ciri yang boleh menyumbang kepada gangguan kesihatan dialami pelajar sekolah dalam insiden itu manakala bacaan dua gas lain adalah terlalu rendah.

“Gas ini (methyl mercaptan) tidak karsinogenik. Walaupun tahap standard adalah 40 ppm, kadangkala pada tahap bacaan 10 ppm atau 20 ppm, baunya boleh dihidu dan mungkin memberi simptom,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, bacaan kualiti udara dan kehadiran gas akan terus dibuat pihak JAS di Pasir Gudang selain proses pemantauan dan penguatkuasaan.

Setakat ini, katanya, bacaan menunjukkan tidak ada lagi kehadiran gas methyl mercaptan itu.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:35am
d