utama

Banduan makan 5 kali sehari

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

MARANG: Sejumlah RM41 sehari diperuntukkan untuk kos makan lima kali sehari bagi seorang banduan di Penjara Marang, di sini.

Pegawai Unit Sajian Penjara Marang, Penolong Penguasa Penjara, Suhardi Ali berkata, hidangan untuk 2,700 banduan itu disediakan Unit Sajian Penjara Marang.

“Setiap hari kita memerlukan kira-kira 700 kilogram (kg) beras, 560kg ikan dan 400kg ayam yang dimasak oleh banduan dan dikawal selia oleh pegawai penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada Penjara Marang di sini, kelmarin oleh Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Azam Awi.

Penyerahan SPHM kepada Penjara Marang menjadikannya dapur penjara pertama di Semenanjung dan kedua di seluruh negara selepas Penjara Tawau, Sabah yang mendapat status halal.

Suhardi berkata, banduan yang ditempatkan di Unit Sajian perlu melalui beberapa peringkat sebelum diberi tugasan memasak di unit terbabit dan tidak boleh mempunyai kecacatan fizikal, selain mempunyai tahap kesihatan memuaskan.

“Banduan akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan apabila disahkan pegawai perubatan mereka akan diambil bekerja di Unit Sajian. Selain itu, kita juga akan memberi tunjuk ajar yang dibantu 10 anggota.

“Banduan juga akan diberi suntikan typhoid selain dikehendaki menjalani kursus penyediaan makanan bagi mendedahkan mereka dengan tatacara keselamatan makanan dan proses kerja di dapur bagi mengelak kes keracunan makanan.

“Sijil Penyediaan Makanan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Marang akan diberikan kepada banduan apabila dibebaskan nanti dan sijil berkenaan boleh digunakan untuk bekerja seperti di kedai makan atau restoran,” katanya.

Beliau yang sudah empat tahun di unit sajian itu mengakui cabaran besar digalas membabitkan aspek keselamatan kerana kewujudan barang tajam seperti pisau yang boleh dijadikan senjata.

“Banduan yang ditempatkan di sini menjalani hukuman kerana kes jenayah. Kita tidak tahu latar belakang mereka ketika di luar. Namun hingga kini semua dalam kawalan dan tiada kejadian luar jangkaan berlaku.

“Malah aspek keselamatan sememangnya dititik berat selain kebersihan dan kerjasama. Dari aspek keselamatan, perkakas kerja seperti pisau direkodkan untuk mengelakkan hilang yang boleh dijadikan senjata,” katanya.

Sementara itu, Shah, 39, (bukan nama sebenar) dari Johor Bahru diberi tanggungjawab sebagai ketua di Unit Sajian Penjara di atas pengalamannya sebelum ini sebagai cef di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru sebelum dipenjarakan selama dua tahun kerana kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, seawal jam 8 pagi dia dan 20 banduan memulakan persiapan untuk memasak dengan menu akan ditentukan pegawai penjara.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:40am
d