utama

Ibu Fizo nafi punca cerai [METRO TV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

IBU pelakon Fizo Omar, Hasnah Jidin, 59, menafikan dakwaan segelintir pihak dia dan keluarga menjadi punca perceraian anaknya dengan usahawan, Mawar Karim pada 10 Julai lalu.

Hasnah berkata, sebagai ibu dia sentiasa menasihati Fizo dan bekas menantunya supaya tidak bercerai demi masa depan anak pasangan itu, Wan Maryam, 2.

“Ibu mana yang mahu anak mereka bercerai? Apatah lagi mereka mempunyai anak. Saya selalu nasihatkan supaya bersabar dan jangan bercerai. Walaupun orang kata dia anak mak, tapi saya tak pernah hasut yang bukan-bukan. Apabila timbul cerita mengatakan saya punca perpisahan mereka, rasa terkilan dan sedih sangat. Bukan saya puncanya.

“Selama ini, hubungan kedua keluarga baik saja. Malah, saya dengan Mawar pun baik. Kalau nak tahu, sudah enam bulan saya tidak tinggal bersama mereka,” katanya.

Menurut Hasnah, sepanjang tinggal bersama anak dan menantunya itu, dia tidak pernah menyusahkan kehidupan mereka.

Malah, keputusan untuk tinggal bersama Fizo dan Mawar sudah dibuat ketika mereka baru berkahwin lagi.

“Walaupun saya duduk dan tinggal bersama mereka, tapi tak pernah nak menyusahkan sesiapa. Dalam rumah tak pernah buatkan Mawar susah. Mawar pun baik orangnya.

“Semasa dia bersalin dan dalam tempoh pantang, saya yang menjaganya dan saya pun menjaga cucu. Pendek kata semuanya okey dan tak ada masalah.

“Apabila timbul isu ini, saya tak tahu nak kata apa. Bukan macam itu. Mungkin ramai tak tahu, sebelum Fizo berkahwin lagi kami sudah tinggal bersama. Malah, dia yang banyak menjaga saya selepas kematian suami,” katanya.

Sementara itu, Fizo menafikan dirinya yang dianggap anak emak menjadi antara punca perceraian dengan Mawar.

“Anak emak? Bagi saya itu rezeki saya. Dengan apa yang berlaku, Allah nak bagi kekuatan untuk saya menjaga emak dan keluarga. Saya memang anak emak sebelum kahwin dengan Mawar lagi. Hubungan saya dengan emak takkan berakhir. Emak adalah syurga saya sampai bila-bila.

“Setiap hari emak berdoa untuk saya, alhamdulillah, rezeki sentiasa ada. Jadi, tak salah kalau ada isteri, isteri kena faham. Kena ingat, tanggungjawab anak lelaki adalah tetap pada ibunya,” katanya.

Dalam masa sama, Fizo berkata, disebabkan persepsi negatif yang timbul terhadap keluarganya, ibunya mengalami gangguan emosi.

“Saya sebenarnya terkejut isu ini timbul. Sedangkan proses perceraian berlangsung baik dalam mahkamah, malah kami setuju berpisah cara baik.

“Saya pula tak ada masa nak baca komen netizen. Tapi, apabila orang ramai terus bercakap termasuk saudara mara bertanya dan orang surau pun bertanya emak saya, emosi dia terkesan.

“Emak pun jadi tertanya-tanya apa salah mereka. Kenyataan Mawar di luar mahkamah itu sebenarnya tergantung dan saya pun masih tak faham apa maksud yang cuba disampaikan.

“Apabila emak banyak berfikir, dia tak boleh tidur. Dia ada penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Mengenai sikap netizen, Fizo berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya masih terdapat komen keterlaluan yang mengaitkan keluarganya.

“Kalau masih ada komen yang keterlaluan hingga memberi kesan buruk, saya tak teragak-agak ambil tindakan terhadap netizen

“Saya tak nak disebabkan mereka, situasi makin keruh sedangkan hubungan saya dengan Mawar baik-baik saja walaupun selepas kami bercerai,” katanya.

Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam empat tahun kemudian.

Mereka mengambil keputusan bercerai pada 10 Julai lalu selepas enam tahun berkahwin.

Berita berkaitan

'Saya masih sayang Mawar' - Fizo

'Ini pengorbanan terbesar saya' - Mawar

Fizo, Mawar sah bercerai [METROTV]

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:48pm
d