utama

Pemandu dah kena reman

Oleh Ibrahim Isa

SAYANGKAN anak berpada-pada. Hanya kerana terlalu mengikut permintaan anak untuk menjadi adiwira hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, lelaki ditahan reman dua hari apabila aksi tiga kanak-kanak berpaut pada bumbung kereta tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Ismail Dollah berkata, bertindak atas aduan orang ramai dan video berdurasi kira-kira lima saat di media sosial, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengesan pemandu kereta berkenaan.

Katanya, pada 7.45 malam semalam, sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pergi ke rumah di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang untuk menjalankan siasatan.

Hasil siasatan awal, katanya, pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun dipercayai pemandu ketika kejadian dua kanak-kanak berada di bonet kereta yang bergerak sepertimana tular baru-baru ini.

“Kami turut merampas Toyota Vios yang digunakan ketika kejadian itu.

“Tiga kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dipanggil dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kami dapati, seorang daripada tiga kanak-kanak itu adalah anak lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, lelaki terbabit yang juga pemandu van sekolah ditahan reman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Razali Wagiman berkata, siasatan mendapati dua lagi kanak-kanak yang terbabid adalah anak jiran.

“Ketika pasukan JPJ dan polis tiba di rumah suspek, kita dapati kenderaan terbabit dalam kejadian ada di rumah mereka dan hasil siasatan, lelaki itu mengaku memandu kereta itu pada 3.30 petang kelmarin dan membawa tiga kanak-kanak termasuk anaknya duduk sambil bergayut di belakang kereta.

“Dia juga mengaku tidak mematuhi isyarat lampu merah di jalan berkenaan dan melakukan aksi berkenaan kerana memenuhi permintaan anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, JPJ turut mengeluarkan dua saman masing-masing kerana cuai semasa memandu serta gagal patuhi isyarat lampu merah.

Semalam, Harian Metro melaporkan reaksi netizen yang ngeri melihat lagak ngeri dua kanak-kanak ala adiwira di atas bonet kereta dipercayai di Jalan Persiaran Scientex, Taman Scientex, Pasir Gudang.

Gelagat kanak-kanak itu mencuri tumpuan netizen bahkan pelbagai reaksi diberikan susulan tindakan berani mereka berpaut pada bumbung kereta ketika kenderaan itu bergerak.

Ada netizen mempersoalkan aksi itu bahkan ia tidak sepatutnya berlaku kerana nyawa tidak sepatutnya menjadi taruhan.

Tidak kurang memperli dengan sindiran pedas kepada kanak-kanak itu mahupun individu yang bertanggungjawab membawa kenderaan ketika dua kanak-kanak itu di atas bonet kenderaannya.

Berita berkaitan:

  • Dik, polis dah cari
  • Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 1:53pm
    d