utama

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PASANGAN suami isteri maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, masing-masing berusia 31 tahun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 500R dinaiki pasangan suami itu tidak sempat mengelak dua motosikal bergesel di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

“Mangsa gagal mengelak dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Suzuki Axelo yang bergesel di tengah jalan lorong motosikal berkenaan.

“Dua lagi penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Azman berkata, mangsa yang parah dikenali sebagai Mohd Saad Ismail, 45, dan Sainuddin Sukur, 51.

“Manakala mangsa yang maut dibawa ke PPUM untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 2:00pm
d