utama

Mekanik satu tangan

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA tak sangka boleh sampai ke tahap ini kerana sudah berputus asa dan rasa dunia seperti sudah berakhir ketika mula-mula menjadi orang kurang upaya (OKU) ,” kata S Surendran, 32.

Surendran, kudung tangan kiri selepas tangannya dipotong akibat kecederaan serius dialami pada 2006 yang berlaku kerana diserang individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal.

Meskipun berat untuk menerima hakikat itu, Surendran berusaha untuk berdikari dengan bekerja sebagai mekanik di bengkel milik sepupu, M Murugan di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan bagi menyara ibu dan lima adiknya.

“Selepas insiden itu, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan mengambil masa selama enam bulan sebelum meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Salah satu sebab yang mendorong saya untuk bangkit adalah kerana tidak mahu ibu terus bersedih dan memikirkan tanggungjawab untuk membantu keluarga.

“Lagipun, saya anak sulung jadi siapa lagi boleh diharapkan untuk membantu ibu dan ayah menyara lima adik yang masih bersekolah ketika itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan pengalamannya sebagai mekanik, Surendran berkata, bukan mudah untuknya melakukan pekerjaan itu.

Namun, minat dan keinginan untuk menyara keluarga mendorongnya untuk belajar sehingga mahir membaiki kenderaan.

“Abang saudara yang mempelawa saya untuk bekerja di bengkelnya dan pada mulanya saya hanya menjadi pembantu dengan pendapatan bulanan sebanyak RM150 saja.

“Lama kelamaan, timbul minat untuk menjadi mekanik dan daripada situ, saya belajar menukar alat ganti dan lain-lain lagi sehingga diberi kepercayaan membaiki kereta pelanggan.

“Tidak mudah bekerja dengan sebelah tangan dan beberapa kali juga saya cedera tetapi pengalaman banyak membantu saya untuk mengendalikan masalah serta ragam kenderaan” katanya.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, pekerjaan itu memberinya kepuasan dan dia gembira dengan penerimaan baik daripada pelanggan.

Baginya, status sebagai OKU bukan alasan untuk meraih simpati atau ihsan individu sekeliling sebaliknya pendorong untuk lebih berdikari.

“Setakat ini, pelanggan ditemui berpuas hati dengan kerja saya dan paling membuatkan saya terharu apabila mereka memberi sokongan moral walaupun kami tidak mengenali satu sama lain.

“Mereka (pelanggan) juga tidak meragui kebolehan saya membaiki kenderaan dan itu yang memberi semangat untuk saya bekerja menyara adik dan ibu lebih-lebih lagi sejak ayah meninggal dunia akibat serangan jantung empat tahun lalu.

“Jika saya boleh, tidak mustahil OKU di luar sana juga mampu berjaya dengan syarat mereka ada kesungguhan dan usaha untuk mengubah nasib diri sendiri,” katanya,

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 9:00pm
d