utama

Dayang buat peminat menangis

Oleh Rudy Imran Shamsudin

DALAM temu bual sebelum ini, Dayang Nurfaizah menggambarkan Konsert Dayang Dua Dekad yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Ahad lalu diinspirasikan daripada konsert penyanyi terkenal antarabangsa, Adele.

Dalam konsert berkenaan, Dayang mengotakan apa yang dikata apabila menampilkan persembahan lebih bersifat ‘up close & personal’. Tidak menggunakan teknologi kesan khas mahupun gimik dan pentas hanya dihiasi sinaran lampu dan layar elektronik.

Diiringi 11 pemuzik dan penyanyi latar, malam itu Dayang membawa peminat menelusuri dan menyingkap nostalgia kerjaya muziknya selama 20 tahun atau dua dekad.

Hampir 1,400 penonton yang memenuhi Panggung Sari, Istana Budaya dihidangkan dengan rangkaian lagu popular yang meletakkan Dayang antara penyanyi terbaik pernah dilahirkan industri muzik tempatan.

Dalam tempoh dua jam konsert itu berlangsung, penonton dibuai dengan kekuatan vokal gemersik Dayang dan hanyut dalam alunan muzik yang diberikan sentuhan berbeza.

Membuka pentas dengan lagu yang menganugerahkan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) iaitu Tak Pernah Menyerah, Dayang seperti biasa menampilkan susunan muzik berbeza hasil kerjasama Genervie Kam yang turut bertindak selaku pengarah muzik.

Namun, melodi asal setiap lagu tetap terpelihara dan kedengaran lebih segar. Malah peminat setianya mengakui perkara itu juga menjadi tarikan utama untuk mereka datang menyaksikan konsert Dayang.

Mereka mahu mendengar dan melihat kreativiti dilakukan penghibur profesional itu terhadap setiap karya yang pernah dinyanyikan sebelum ini. Ia bagaikan kejutan yang sangat disenangi.

Keanggunan vokal Dayang terserlah ketika mendendangkan lagu yang membuatkan dia diminati sejak awal kemunculan dalam industri muzik seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Mana Mungkin, Erti Hidup dan Sedingin Mana Cinta Mu.

Bagi mereka yang pertama kali menyaksikan persembahan Dayang, pastinya teruja apabila melihat dia begitu bersahaja di atas pentas.

Begitu juga dengan celotehnya berkongsi pengalaman perjalanan kerjaya seninya selama dua dekad.

Tidak kurang ramai yang tercuit hati dan tidak menyangka Dayang pandai bersenda dengan peminat. Sisi berbeza penyanyi yang memulakan kerjaya seni seawal usia 18 tahun itu hanya dapat dilihat setiap kali dia beraksi di pentas konsert.

Ditemui selepas konsert, Dayang berkata, setiap kali ingin memulakan konsert pasti dia akan gementar. Namun, menyaksikan wajah peminat setia berada di bawah pentas membuatkan perasaan itu hilang.

“Mereka sebenarnya memberikan saya aura untuk membuat persembahan terbaik. Merekalah pembakar semangat saya sepanjang 20 tahun membabitkan diri sebagai penyanyi,” katanya.

Sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta, Dayang sempat memberikan ucapan penghargaan kepada Ajai selaku pencipta lagu terbabit dan Seandainya Masih Ada Cinta yang turut hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Selain Ajai, artis popular lain yang turut hadir ialah Fauziah Latif, Ziana Zain, Misha Omar, Indah Ruhaila, Sarah Suhairi dan Fazley Zainal.

Memenuhi kehendak peminat, Dayang turut menyanyikan beberapa lagu popularnya secara medley seperti Bahagia, Inginku Miliki, Sayang, Coretan Cinta, Kasih Maafkan dan Andaiku Tahu.

Dewan Panggung Sari bergema dengan sorakan peminat apabila Dayang membawa Hael Husaini ke atas pentas untuk berduet mendendangkan lagu Haram.

Ternyata gosip hubungan antara penyanyi dan komposer muda itu turut mempengaruhi. Menurut Dayang, dia bertuah apabila diberi peluang menyanyikan lagu Haram kerana ia membuatkan dirinya terus relevan dalam industri muzik tempatan.

Selepas muncul dengan lagu Di Pintu Syurga sehinggalah pelancaran single terbaharu berjudul Sebentar, ia memberi peluang untuk Dayang mengumpul peminat baru dan lebih muda.

Dalam konsert itu, Dayang turut tampil dengan empat persalinan indah rekaan Datuk Rizalman Ibrahim ketika segmen lagu klasik dendangan asal Biduanita Negara Allahyarham Puan Seri Saloma dan Nona Asiah.

Lagu yang dipilih Dayang ialah Sejak Ku Bertemu Pada Mu, Jangan Tenung Tenung, Jalan Bersama dan Bunga Anggerik.

Menjelaskan mengapa lagu dendangan Saloma dan Nona Asiah menjadi pilihan, Dayang berkata, itu antara cara dia mengenengahkan dan memperkenalkan lagu klasik yang sangat indah ciptaan melodinya dengan lirik begitu puitis kepada peminatnya.

“Sewaktu mengadakan konsert di Singapura tahun lalu, saya memilih segmen lagu asli. Ini antara cara saya memperkenalkan lagu lama yang terbukti melodinya sangat cantik dengan lirik yang puitis,” katanya yang turut menggesa peminat terus menyokong industri muzik tempatan.

PESAN BUAT PEMINAT

Ketika mendendangkan lagu Di Pintu Syurga, Dayang turut membuatkan segelintir peminatnya menangis. Dayang memberikan sepenuh hati dan rasa ketika menyanyikan lagu ciptaan Tam Spider itu.

Sebelum dia memulakan nyanyian, Dayang sempat berpesan supaya peminatnya menghargai orang yang disayangi sementara mereka masih hidup.

Sebaik meninggalkan pentas dan menyedari ada lagu yang belum didendangkan, peminat bersorak meminta supaya Dayang kembali.

Selepas tiga minit, pemenang tiga kali kategori Vokal Terbaik di AJL itu kembali dan mendendangkan lagu Lelaki Teragung.

Ketika mendendangkan lagu terakhir, Dayang Sayang Kamu, kantung ‘bodypack’ untuk ‘ear monitor’ di bajunya tertanggal.

Jika perkara itu berlaku kepada penyanyi amatur pasti ia akan menyebabkan panik, tetapi tidak bagi Dayang. Kemampuannya sebagai seorang penghibur berpengalaman terserlah apabila berdepan dengan situasi terbabit. Jelas kejadian itu langsung tidak mengganggu tumpuannya. Selepas sepantas kilat menanggalkan ‘earphone’ dan mencampakkannya ke lantai dia meneruskan nyanyian.

Dayang berkata, dia berasakan apa yang diberikan ada kekurangan, namun bersyukur konsert itu berjalan seperti dirancang.

Bagaimanapun, bagi peminat yang hadir, ‘kesalahan’ itu sebenarnya yang menyempurnakan perjalanan konsert itu.

Konsert Dayang Dua Dekad akan diteruskan di Singapura pada 28 Disember ini. Menurut Dayang, tidak banyak perubahan dibuat kerana kesuntukan masa.

Namun, dia cuba melihat apa yang boleh diperbaharui memandangkan kemungkinan ada peminat yang menyaksikan konsert di Istana Budaya juga akan menyaksikan konsert di Singapura nanti.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 5:30am
d