utama

Inkues Adib selesai [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SELEPAS 41 hari, Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, menutup prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu.

Koroner Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan semua saksi inkues yang dipanggil memberi keterangan dan tidak akan memanggil mana-mana saksi lain.

“Setelah meneliti keterangan sedia ada, mahkamah tidak akan memanggil mana-mana saksi.

“Sehubungan itu, inkues ini ditutup,” katanya.

Dalam prosiding itu, Koroner Rofiah turut menjemput pihak berkepentingan mengemukakan hujahan bertulis.

“Hujahan bertulis ini perlu dikemukakan sebelum atau pada 21 Ogos nanti,” katanya.

Setakat ini, hanya pihak keluarga mewakili Muhammad Adib bercadang mahu memasukkan hujahan bertulis.

Justeru, Koroner Rofiah menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh mengemukakan hujahan bertulis berkenaan.

Prosiding inkues bermula 11 Februari lalu membabitkan 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan dan 137 barang kes (eksibit) dikemukakan.

Dalam prosiding itu, inkues dikendalikan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin dan Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 10:39am
d