utama

Kuntilanak 2 'hantui' pawagam

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SEBUT saja Kuntilanak, tentunya akan terbayang susuk wanita menyeramkan dengan berambut panjang dan pakaian serba putih yang lusuh.

Terbaharu, filem sekuel dari Indonesia berjudul Kuntilanak 2 kini ditayangkan di Malaysia. Berbanding filem pertama berjudul Kuntilanak tahun lalu, sekuel ini tampil dengan jalan cerita tersendiri dan tiada kaitan dengan filem pertama.

Di Indonesia, filem ini berjaya mencuri tumpuan jutaan peminat dan penggemar filem seram sehingga mencatat jumlah kutipan pecah panggung.

Filem arahan Rizal Mantovani ini dibintangi Karina Suwandi, Sandrinna Michelle, Andryan Bima, Ali Fikri, Adlu Fahrezy dan Ciara Nadine Brosnan.

Secara ringkasnya, Kuntilanak 2 mengisahkan Dinda, anak yatim yang tinggal di rumah Ibu Donna bersama beberapa anak yatim lain.

Satu hari muncul seorang wanita bernama Karmila yang mengaku dia ibu kandung Dinda.

Kemunculannya adalah untuk mengambil Dinda dan kembali tinggal bersamanya.

Dari situ, bermulalah kisah menyeramkan apabila Dinda ingin pulang ke rumah Karmila dan turut ditemani adik-beradik angkatnya iaitu Julia, Kresna, Miko Panji, Ambar serta kekasih Julia, Edwin.

Dari situ, barulah Dinda mengetahui dia adalah pewaris keturunan keluarga yang memuja Kuntilanak.

Karina yang mula popular sejak 1980-an memegang peranan sebagai Karmila dan Kuntilanak dalam filem ini. Tentunya, ada pelbagai cabaran buatnya.

Dalam satu temu buat bersama media Indonesia, Karina bersyukur terhadap penerimaan penonton.

“Saya sangat gembira kerana filem ini diterima baik dan setiap yang bekerja keras dalam penghasilan filem ini punya matlamat masing-masing yang sangat luar biasa,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak menjangka filem ini mampu mencatat kutipan box office.

“Kita bersyukur dan berbahagia sekali. Terima kasih kepada semua pihak terutama penonton. Lebih menggembirakan, ini filem pertama saya yang mencatat kejayaan ‘box office’,” katanya.

Sementara itu, Rizal selaku pengarah berkata, dia menyelitkan elemen fantasi dalam garapannya kali ini.

“Saya cuba hadirkan kisah yang berbeza. Walaupun tunjang utamanya kisah Kuntilanak, saya lebih memaparkan kisah fantasi supaya sesuai dinikmati semua penonton daripada pelbagai lapisan umur,” katanya.

Apa yang pasti, Kuntilanak 2 tentunya ada tarikan dan keunikan tersendiri dalam mengangkat kisah hantu yang menjadi mitos di Indonesia, ke layar perak.

Di Malaysia, filem ini akan mula ‘menghantui’ pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 5:30am
d