utama

Alahai... merdunya nek

Oleh Alias Abd Rani

MACAM Saloma. Itu reaksi spontan seorang netizen sebaik mendengar suara warga emas, Masriah Ngadimin menyanyikan lagu, Bulan Di Pagar Bintang yang dimuat naik cucunya dalam laman Twitter, semalam.

Semua bermula apabila cucunya, Muhammad Irham Kamal, 19, merakam audio suara warga emas berusia 70 tahun itu semata-mata mahu melepas rindu berikutan berjauhan dengan nenek kesayangan.

Pada mulanya, Muhammad Irham yang kini menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, jurusan Bahasa Arab menyanyikan lagu itu menerusi rakaman suara menggunakan WhatsApp yang kemudiannya dihantar kepada emaknya, Azian Basri, 44.

“Mula-mula saya menyanyi dan rakaman itu dihantar menerusi WhatsApp emak dan kemudiannya saya meminta nenek menyambung nyanyian.

“Nyanyian itu dirakam dibalas semula ke WhatsApp saya. Bila mendengar, saya terpegun dan kerinduan akhirnya terubat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Irham berkata, sebelum mendapat tawaran belajar di Mesir, dia sering meminta neneknya menyanyi, mengaji atau berzanji kerana suaranya cukup merdu.

“Nenek suka tilawah dan berzanji, kalau di kampung di Banting, Selangor dia memang dikenali malah sering mengikuti aktiviti penduduk di sana.

“Jika bosan, saya akan meminta nenek menyanyi. Lagi pun nenek sering mengikuti kelas di tilawah di kampung,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menjangka rakaman yang dimuat naik dalam Twitter miliknya mendapat sambutan, malah tidak kurang yang memuji kelunakan suara neneknya.

Rakaman audio pertama berdurasi 1:08 minit itu didengari 201,800 warga maya, 19,500 ulang ciapan serta 17,300 tanda suka, setakat 6 petang hari ini.

Manakala audia kedua yang juga sambungan berdurasi 37 saat mendapat 15,7000 tontonan, untuk tempoh masa sama.

Beberapa netizen memberi komen antaranya @wanizzatul2000 membalas, “idk why tapi keluar air mata dengar your nenek menyanyi HAHAHAHA your nenek’s voice is so beautiful and classic, I love it so much.”

Antara komen lain netizen;

@SyamilAfif_ Weh suara nenek kau suara orang orang dulu dengan bunyi cengkerik lagi. Fuhhh.

@AmyliaRahman, Part ‘malam menjadi sunyi’ tu dah terasa cam ada kat zaman 80an pulak.

@jkryn_Awwwhh cute both of youu! Sedap your voice and your nenek voice fefeeling cerita dulu dulu.

Selain itu, Muhammad Irham turut memuat naik gambar dia bersama neneknya sambil menjelaskan, “Nilah nenek sayang saya tu, doakan nenek saya dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan berpanjangan dan dimurahkan rezeki, tahun depan abg balik malaysia ye nek.”

Menurut Muhammad Irham, neneknya hanya ketawa sebaik memberitahu suara rakaman itu dimuat naik dalam Twitter.

“Sebelum itu saya sudah memaklumkan pada emak untuk memuat naik rakaman ini,” katanya yang juga penuntut tahun pertama.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 9:00pm
d