utama

'Sudah puas kecap glamor' - Erra Fazira

Oleh Ramlah Zainal

NAMA Erra Fazira bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air sejak lebih dua dekad lalu. Dalam tempoh 25 tahun berkecimpung dalam bidang perfileman, pelbagai pahit getir dilalui pelakon dan penyanyi jelita ini.

Pada usia 45 tahun, Erra masih laris memenuhi undangan berlakon dan namanya terus bertahan hingga hari ini.

Namun, glamor dan populariti bukan menjadi keutamaan Erra lagi.

“Saya sudah puas bergelumang dalam dunia glamor pada awal pembabitan dulu. Kini, saya lebih selesa melakonkan watak pembantu dalam filem.

“Memang ada tawaran watak heroin dalam projek drama tetapi saya terpaksa menolaknya kerana kekangan masa,” katanya.

Menurut Erra, dia juga perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran.

“Dalam tempoh seminggu, saya bekerja selama empat hari dan selebihnya hari untuk bersama anak. Sebab itu saya selesa terbabit dengan watak pembantu dalam drama atau filem kerana mahu meluangkan masa berkualiti bersama anak,” katanya.

Selain projek filem, Erra juga terbabit sebagai hos program bersama Mingguan Wanita dan drama bersiri Gerak Khas sehingga September nanti.

KEMBALI DENGAN FILEM WANGI

Erra bukanlah peminat cerita seram tapi peluang berlakon dalam filem Wangi sukar dilepaskannya. Bagi Erra, dia mengambil tawaran berlakon dalam filem genre seram dan psiko thriller itu kerana tertarik dengan skripnya yang ada kelainan.

“Sebenarnya saya tidak selesa berlakon cerita seram kerana mahukan ketenangan jiwa. Pada mulanya, saya tidak tahu Wangi cerita seram tetapi hati terbuka untuk terima tawaran produser filem itu kerana skripnya menarik.

“Pada masa sama, saya tertarik dengan gabungan mantap pelakon seperti Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad dan Syazwan Zulkifli,” katanya.

Berkongsi mengenai wataknya pula, kata Erra, dia melakonkan watak Nor, wanita yang berdepan konflik jiwa selepas melahirkan anak dan menjalani tempoh berpantang.

“Ada misteri yang berlaku dalam rumah membabitkan suami dan pembantu rumahnya, Bella (lakonan Nabila) yang tidak diketahui Nor termasuk misteri kehilangan Bella,” katanya.

Ditanya dari segi cabaran pula, kata Erra, dia berdepan cabaran tersendiri untuk menjiwai watak Nor.

“Ia bukan perkara mudah kerana saya memang tidak minat menonton cerita seram. Saya perlu bercakap seorang diri dan membayangkan makhluk halus itu di sebelah. Ada babak seram yang mayat juga muncul depan mata,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Sharnaaz pula, kata Erra, dia tiada masalah mendapatkan keserasian dengan pelakon itu.

“Sharnaaz memang tidak kekok melakonkan watak Khuzairi yang juga suami Nor dalam filem ini. Dia pelakon yang bagus dan memang mudah dibawa berbincang sekali gus berusaha memberikan yang terbaik pada filem ini,” katanya.

Filem Wangi arahan Yeop Hitler dan terbitan Resilience Studio Sdn Bhd ini bakal ditayangkan bermula 5 September nanti.

Selain Wangi, dua lagi filem lakonan Erra yang menanti tarikh tayangan ialah filem komedi Bikin Filem dan Rumah.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 6:00am
d