utama

'Usah tutup periuk nasi pemain'

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) digesa segera menyelesaikan kemelut yang membabitkan dua bekas tekong emas negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang kini digantung sementara persatuan berkenaan.

Bekas pemain negara, Rommi Suhendra Norsal melihat badan induk sepak takraw berkenaan seolah-olah cuba melengah-lengahkan usaha untuk mencari jalan penyelesaian terhadap dua pemain terbabit.

Syahir dan Zulkifli kini digantung sementara oleh PSM sejak 26 Jun lalu selain turut digugurkan dari skuad negara dan tidak dibenarkan menyertai beberapa kejohanan.

“Sehingga kini mereka tidak dibenarkan bermain dalam sebarang kejohanan, seolah-olah menutup periuk nasi pemain yang pernah menjulang nama negara di pentas Asia,” kata Rommi.

“PSM seharusnya bergerak lebih pantas. Sampai bila mereka perlu digantung sementara? Sudahlah dibuang dari skuad negara, tidak pula dibenarkan bermain,” jelas bekas tekong negara itu.

Zulkifli terlepas peluang mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) yang sedang berlangsung selepas PSM “mengharamkan” kedua-duanya menyertainya.

MAKSAK yang menggunakan khidmat pengadil PSM akur dengan arahan badan induk berkenaan kerana tidak mahu kejohanan berkenaan terjejas.

Kedua-duanya juga dijangka tidak akan dapat beraksi pada kejohanan berprestij, Piala Emas Khir Johari selain Liga Sepaktakraw (STL) pada September nanti.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 6:01am
d