utama

Pesanan terakhir Daniel

Oleh Ahmad Ismail

“KAMI reda pemergian Mohammad Daniel Mohd Yuslizan, 16, dan bersyukur arwah sentiasa mengambil berat mengenai solat selama ini,” kata Artini Rabudin, 40, ibu kepada remaja yang ditemui lemas di dasar kolam taman rekreasi Air Terjun Taka Melor, Kampung Tenang, Labis, dekat Segamat, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Segamat, mandi bersama lima rakan lain berusia antara 14 hingga 16 tahun.

Tiba-tiba, mangsa bersama dua rakannya hilang sebelum dua rakannya itu berjaya diselamatkan pengunjung taman rekreasi berkenaan, manakala mayat mangsa ditemui di dasar air terjun itu tidak lama kemudian.

Artini yang juga pembantu gerai makan berkata, arwah adalah anak ketiga daripada lima beradik dengan semua anaknya lelaki berusia antara 6 hingga 20 tahun hasil perkongsian hidup bersama suami, Mohd Yuslizan Mazlan, 43, yang bekerja kampung.

“Sejak beberapa bulan lalu arwah menitik beratkan solat dan kerap menasihati adik-beradiknya supaya tidak melewatkan waktu solat serta mendoakan kedua ibu bapa mendapat tempat di syurga paling tinggi darjatnya.

“Arwah juga sering mengingatkan adik-beradiknya supaya mendalami ilmu agama supaya boleh menjadi imam kerana suatu hari nanti akan menjadi ketua keluarga masing-masing. Selain itu, sejak beberapa minggu lalu, arwah tidak lagi keluar malam untuk meluangkan masa bersama keluarga,” katanya ketika ditemui Jabatan Forensik Hospital Segamat, Segamat, hari ini.

Menurutnya, pada awalnya rakan arwah berusia 14 hingga 16 tahun menasihatnya supaya jangan mandi di kolam air terjun itu kerana terlalu dalam dan arwah pula tidak tahu berenang.

Katanya, mungkin disebabkan bimbang arwah berkecil hati, lima rakan yang lain bersetuju ke tempat kejadian dengan menunggang tiga motosikal, kira-kira 4 petang.

“Kami sekeluarga baharu meraikan sambutan hari lahirnya ke-16 dua minggu lalu, tidak menduga ia sambutan terakhirnya namun saya bersyukur kerana sempat masak hidangan kegemarannya iaitu asam pedas dan sambal ayam.

“Cuma saya agak terkilan kerana sebelum keluar menghadiri jemputan kahwin kira-kira jam 2 petang semalam, saya tidak menyapa arwah di rumah sebaliknya hanya melihat wajahnya.

“Rakannya, Mohd Hafis Daniel, acap kali meminta maaf kepada kerana gagal menyelamatkan arwah anak dalam kejadian itu, namun kami sekeluarga beranggapan ia takdir dan tidak perlu meletak kesalahan pada sesiapa,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 2:49pm
d