utama

Tolong doakan Muhammad Hassif...

Oleh Ramli Ibrahim

KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun kini koma kerana parah di kepala selepas terjatuh ketika menunggang basikal di Taman Wangsa Mewangi, Jalan Persiaran Raya di Gua Musang, pada 17 Julai lalu.

Kejadian kira-kira 5 petang itu menyebabkan kanak-kanak terbabit, Muhammad Hassif Daneal Muhammad masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibunya, Ruzaini Bakar, 47, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas belajar mengaji al-Quran ketika kejadian terbabit.

Menurutnya, anaknya dikatakan terjatuh selepas gagal mengawal basikalnya ketika melalui satu kawasan selekoh berhampiran rumahnya.

“Saya terkejut apabila dia balik ke rumah dalam keadaan berlumuran darah di kepala sebelum mengejarkannya ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan kecemasan dan Muhammad Hassif terus tidak sedarkan diri.

“Melihat keadaannya itu menyebabkan pihak HGM menghantarnya ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dirujuk ke HUSM dan hingga sekarang masih belum sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, doktor sudah melakukan pembedahan di kepalanya sehari selepas dimasukkan ke HUSM dan sehingga kini keadaannya belum berubah.

“Doktor maklumkan kepala anak saya itu perlu dibedah sekali lagi dalam masa terdekat kerana dipercayai ada lagi darah beku dalam kepalanya.

“Saya mohon rakan yang mengenali diri saya supaya mendoakan Muhammad Hassif selamat dan kembali sedar,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata, pendapatannya hanya bergantung kepada jualan kuih di pasar.

“Pada masa sama, saya perlu menyara tiga lagi anak berusia 16 hingga 22 tahun dan kini sangat bimbang kerana perbelanjaan untuk menampung kos rawatan anak di HUSM tidak mencukupi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Bank Islam 03063020123492 atas nama Ruzaini Bakar.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 5:00pm
d